
SEREMBAN: Sebanyak 334 sekolah di seluruh Negeri Sembilan dijadikan sebagai pusat pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Dr Roslan Hussin.
Beliau berkata lima pejabat pendidikan daerah pula dijadikan pusat penamaan calon dengan lebih 200 guru dan kakitangan terlibat termasuk sebagai Ketua Pusat Mengundi dan Pegawai Pengurus sekali gus memastikan ia berjalan lancar.
“Itu tanggungjawab kita dalam menyediakan tempat dan membantu proses mulai penamaan calon hingga ke hari pengundian. Kita memang memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.
SPR menetapkan PRN di Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian dan hari penamaan calon pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum ini dilaporkan berkata semua sekolah di enam negeri yang bakal dijadikan pusat mengundi pada PRN, kini dalam keadaan siap sedia.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata senarai calon yang bertanding dalam PRN negeri ini berkemungkinan akan diputuskan minggu hadapan.
“...Setakat ini belum putuskan. Mungkin minggu hadapanlah, umum (pengumuman calon) belum lagi, itu tugas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (untuk umum),“ katanya. -Bernama

