PRN: Bekas Ketua Pengarah JLKN calon DUN Kuala Balah

LocalPolitics
28 Jul 2023 • 7:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Abdul Hadi

KOTA BHARU - Bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah.

Abdul Hadi ketika ditemui selepas Majlis Pengisytiharan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan pada Khamis berkata, misi utama beliau bertanding ialah mahu melihat semua bangsa berada dalam satu perpaduan.

"Kita tidak boleh lagi hidup dalam kekecohan dan inilah antara misi saya bertanding dalam PRN," katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Daerah Jeli berkata, tidak mahu melihat kepada isu tertentu tetapi fokus utama ialah penambahbaikan dalam negeri Kelantan.

Tambah beliau, antara perkara penting ialah meningkatkan ekonomi di Jeli yang sangat berpotensi terutama dalam bidang pelancongan dan pertanian.

"Itulah antara perkara yang perlu diteliti bersama kerajaan negeri dan Persekutuan untuk melihat bagaimana mereka boleh membangunkan Jeli," katanya.

Beliau turut memberitahu terlibat dalam politik secara tidak langsung selepas bersara lima tahun lalu.

Ketika itu katanya banyak melakukan kerja-kerja kemasyarakatan termasuk aktiviti di sekolah agama.

"Dalam tempoh 38 tahun berkhidmat sebagai pegawai kerajaan dan bersara sebagai Ketua Pengarah JLKN, saya melihat kesatuan dan perpaduan masyarakat sangat diperlukan," katanya.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diperkenalkan pada Disember 2003 dan Datuk Abdul Hadi mula berkhidmat sejak 2007 hingga 2014.

Beliau antara individu yang bersetuju PLKN diperkenalkan semula bagi meningkatkan jati diri remaja dan golongan belia di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: