PRN Johor: Annuar Musa dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS

LocalPolitics
10 Jun 2026 • 1:43 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: PRN Johor: Annuar Musa dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS

KUALA LUMPUR – PAS Pusat secara rasmi melantik Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa, sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi menerajui kesiapsiagaan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua Penerangan PAS Johor, Mohd Firdaus Jaffar memaklumkan bahawa pelantikan tersebut adalah langkah strategik bagi memperkukuh dan menyelaraskan gerak kerja jentera parti menjelang PRN yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

"PAS Johor menyambut baik pelantikan Tan Sri Annuar Musa. Kami yakin pengalaman luas serta kepimpinan yang dimiliki beliau mampu memantapkan persiapan jentera bagi menghadapi PRN Johor ke-16," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru seluruh jentera PAS di negeri itu agar merapatkan saf, memperkemas strategi, dan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap fasa persiapan akhir.

Sokong keputusan putus hubungan dengan Bersatu

Dalam perkembangan sama, Mohd Firdaus menegaskan bahawa PAS Johor menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap keputusan kepimpinan tertinggi PAS Pusat untuk menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.

Menurutnya, ketetapan itu telah diperincikan dalam Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Negeri Johor semalam, di mana kesemua ahli sebulat suara memberi komitmen untuk mematuhi dan melaksanakan keputusan berkenaan.

PAS Johor berpandangan bahawa perpisahan politik dengan Bersatu langsung tidak menjejaskan agenda utama penyatuan ummah yang menjadi matlamat perjuangan parti. Bagaimanapun, mereka sedia akur dan menyokong penuh sekiranya PAS Pusat memutuskan sebarang bentuk persefahaman politik atau pakatan pilihan raya (electoral pact) yang lain pasca-keputusan ini.

Sebagai rekod, Dewan Udangan Negeri (DUN) Johor telah dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas menerima perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini mempunyai tempoh 60 hari untuk menguruskan pelaksanaan PRN berkenaan. - 10 Jun, 2026

The post PRN Johor: Annuar Musa dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS appeared first on Scoop.