PRN Johor bukti rakyat tolak politik slogan - Wawasan

LocalPolitics
12 Jul 2026 • 2:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor bukti rakyat tolak politik slogan - Wawasan
Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan rakyat membuat pilihan berdasarkan pertimbangan sendiri dan tidak menerima pendekatan politik yang memandang rendah kebijaksanaan pengundi.

Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, rakyat Johor akhirnya memberikan jawapan mereka di peti undi apabila tidak menolak mana-mana pihak semata-mata kerana slogan.

"Sebaliknya mereka jelas tidak menerima pendekatan politik yang memandang rendah kebijaksanaan pengundi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, parti itu turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam PRN Johor.

Menurutnya, keputusan itu perlu dihormati sebagai manifestasi kehendak rakyat Johor yang membuat pertimbangan secara matang dan bebas.

"PRN Johor kali ini memperlihatkan satu hakikat yang sukar dinafikan apabila sepanjang tempoh kempen, kepimpinan Pakatan Harapan (PH), khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih banyak menumpukan tenaga kepada menyerang lawan politik berbanding menjawab persoalan sebenar yang sedang dihadapi rakyat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Johor: 55 calon hilang wang deposit

Dua faktor kemenangan BN

Beliau berkata, daripada menawarkan penyelesaian terhadap tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan, ekonomi negeri dan masa depan anak muda, kempen PH didakwa lebih dipenuhi dengan label, persepsi serta naratif yang bertujuan menakutkan pengundi.

"Retorik mengenai "gelombang hijau" diulang tanpa henti seolah-olah ia boleh menggantikan hujah dan dasar," katanya lagi.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, kemerosotan sokongan terhadap PH, termasuk di beberapa kawasan yang sebelum ini dianggap kubu kuat mereka, bukan sekadar perubahan angka pilihan raya.

Sebaliknya, katanya, ia menjadi peringatan bahawa rakyat sentiasa menilai sikap dan pendekatan sesebuah kerajaan.

"Apabila kepimpinan dilihat semakin jauh daripada denyut nadi rakyat dan lebih ghairah mengurus persepsi berbanding menyelesaikan masalah, keyakinan rakyat akan terus terhakis sedikit demi sedikit," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Wawasan akan terus membantu Perikatan Nasional (PN) menambah baik pendekatan serta strategi bagi memenangi hati rakyat dalam siri pilihan raya akan datang.

"Tumpuan turut diberikan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat," tambahnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved