PRN Johor: Lebih 2.7 juta layak mengundi, 42,000 petugas digerakkan

LocalPolitics
9 Jun 2026 • 1:47 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: PRN Johor: Lebih 2.7 juta layak mengundi, 42,000 petugas digerakkan

JOHOR BAHRU — Seramai 2,727,926 pemilih berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang diwartakan pada 21 Mei.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata daripada jumlah itu, 2,703,175 pemilih biasa, manakala 24,751 terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka.

“Daripada jumlah tersebut juga, sebanyak 56,655 orang pemilih merupakan orang kurang upaya (OKU) dan memerlukan perhatian khusus oleh SPR untuk mengundi dalam keadaan yang selesa,” katanya kepada Bernama.

Khairul Shahril berkata jumlah pemilih itu tertakluk kepada kemas kini Daftar Pemilih Tambahan yang akan digunakan dalam PRN Johor, setelah ia diputuskan dalam Mesyuarat Khas pada 12 Jun ini.

Beliau turut mengumumkan bahawa 42,023 petugas pilihan raya akan dilantik bagi menggerakkan keseluruhan urusan PRN, termasuk 56 Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta anggota keselamatan.

“Secara prinsipnya, kos pelaksanaan pilihan raya bergantung kepada beberapa faktor termasuk jumlah pemilih berdaftar, bilangan pusat dan saluran mengundi, pelantikan petugas pilihan raya, keperluan logistik, penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat,” katanya.

SPR kini sedang meneliti keperluan operasi dan logistik, dengan Khairul Shahril menegaskan bahawa penggunaan sumber awam sentiasa dioptimumkan agar pilihan raya dilaksanakan secara cekap dan berhemah.

DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun, dengan SPR akan menetapkan tarikh-tarikh penting PRN Johor dan Negeri Sembilan pada 12 Jun. - 9 Jun, 2026

The post PRN Johor: Lebih 2.7 juta layak mengundi, 42,000 petugas digerakkan appeared first on Scoop.