PRN Johor: Onn Hafiz rayu calon tidak terpilih terus bersama BN

LocalPolitics
24 Jun 2026 • 7:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: Onn Hafiz rayu calon tidak terpilih terus bersama BN
Onn Hafiz

JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merayu mana-mana individu yang tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agar terus kekal istiqamah bersama perjuangan Barisan Nasional.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor menegaskan, calon yang dipilih bukan mewakili kepentingan individu, sebaliknya membawa amanah besar sebagai satu pasukan yang mewakili BN secara keseluruhan.

“Kepada yang tidak terpilih, saya merayu agar terus bersama dalam perjuangan ini. Perjuangan kita lebih besar daripada mana-mana individu atau jawatan.

"Walaupun hanya seorang calon bertanding, yang mesti menang adalah seluruh pasukan BN,” katanya ketika Majlis Pengumuman Calon BN Johor di Ibu Pejabat UMNO, di sini, Rabu.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan kesemua 56 calon BN bahawa pemilihan mereka bukan satu keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.

“Berkempenlah dengan penuh adab, tertib dan bijaksana kerana di Johor kita ada cara tersendiri,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden MCA, Presiden MIC, serta pimpinan PPP dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Onn Hafiz turut mengajak semua calon menawarkan kepada rakyat sebuah kerajaan yang stabil, berprinsip serta mampu meneruskan agenda pembangunan negeri melalui pelan Maju Johor 2030.

Beliau menegaskan BN tidak pernah menjanjikan sesuatu yang berlebihan kepada rakyat, sebaliknya komited untuk terus bekerja keras membangunkan negeri Johor.

“Kepada seluruh rakyat Johor, nilailah kami berdasarkan kerja, pencapaian dan perancangan masa depan,” katanya.

Onn Hafiz turut menyeru semua pihak dalam BN supaya terus bersatu dan memperkukuh kerjasama demi mempertahankan negeri Johor.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved