PRN Johor: Pas pertaruh dua calon wanita, tanding 11 kerusi

LocalPolitics
25 Jun 2026 • 11:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: Pas pertaruh dua calon wanita, tanding 11 kerusi
Ahmad Samsuri (tengah) bersama calon Pas yang akan menggunakan logo PN pada PRN Johor berlangsung 11 Julai depan.

MUAR - Pas mempertaruhkan dua calon wanita daripada keseluruhan 11 calon yang diumumkan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dua calon wanita tersebut ialah Normala Sudirman yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dan Yuhanita Yunan di DUN Pasir Raja.

Sembilan lagi calon lelaki yang diumumkan ialah Saifullah Abdul Wahab (Jementah), Arshed Yahya @ Awang (Simpang Jeram), Mohamad Anuar Hayan (Maharani), Muhammad Amin Sailan (Sungai Balang), Halim Kepol (Semerah), Ahmad Rosdi Baharu (Seri Medan), Hasnol Hakim Hussein (Endau), Khirul Mutanazar Ismail (Tiram) dan Mazlan Bujang (Kahang).

Pengumuman calon itu dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pengumuman Calon Pas-PN bagi PRN Johor yang berlangsung di Muar pada Khamis.

Sementara itu, penyandang kerusi ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib tidak mempertahankan kerusi yang disandangnya.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Johor, Mahfodz Mohamed dan Ketua Penerangan PN, Annuar Musa.

Pengumuman calon Pas itu diadakan serentak dengan pengumuman calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Taman Pagoh Jaya yang meletakkan 16 calon.

Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing telah mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Sementara itu, Parti Bersama mengesahkan akan bertanding di 15 kerusi, manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan meletakkan calon di empat kerusi. Parti Wawasan Negara pula memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya kali ini.

PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai depan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun, manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved