PRN Johor: Polis Terima 90 Laporan, 25 Kertas Siasatan Dibuka

LocalPolitics
11 Jul 2026 • 2:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Johor: Polis Terima 90 Laporan, 25 Kertas Siasatan Dibuka

JOHOR BAHRU - Polis menerima 90 laporan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir tengah malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 25 kertas siasatan dibuka membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya.

Menurut beliau, kebanyakan kes yang disiasat melibatkan kesalahan kecil dan tidak menjejaskan keseluruhan proses demokrasi di negeri itu.

“Antara kes yang direkodkan ialah perbuatan khianat seperti menurunkan, merosakkan dan membakar bendera parti politik, selain beberapa kes lain yang disiasat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Kebanyakannya melibatkan perkara kecil yang saya percaya tidak akan menimbulkan kebimbangan atau ketegangan dalam kalangan pengundi serta petugas pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Molek, di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata, siasatan terhadap semua kes masih diteruskan bagi mengesan individu yang terbabit sebelum tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, beliau memaklumkan seramai 14,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan bagi memastikan aspek keselamatan serta kelancaran proses pengundian di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Sementara itu, peratusan keluar mengundi bagi PRN Johor mencecah 42.16 peratus setakat jam 1 tengah hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 1,130,980 juta daripada 2,682,642 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Sebagai perbandingan, pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, peratusan keluar mengundi setakat jam 12 tengah hari ialah 28.41 peratus, membabitkan 731,610 daripada 2,574,835 pengundi berdaftar. - Getaran, 11 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved