PASIR GUDANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo tampil dengan enam tawaran utama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Sharon yang pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha AMANAH Johor dan Ketua Wanita AMANAH Negara (Warda) Johor, memfokuskan penyelesaian isu infrastruktur, kesesakan lalu lintas, pembangunan belia serta pemerkasaan komuniti.
Katanya tawaran bertemakan 'Permas Kita Settle' itu dirangka berdasarkan keperluan sebenar penduduk setempat dengan penekanan kepada penyelesaian isu secara sistematik, inklusif dan berterusan.
"Sekiranya diberi mandat, tiga keutamaan akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama.
"Antaranya ialah melancarkan Permasku, iaitu platform digital pusat sehenti bagi menguruskan aduan rakyat supaya setiap aduan dapat dipantau sehingga tindakan diambil oleh agensi berkaitan.
"Kedua, melaksanakan audit menyeluruh terhadap infrastruktur di seluruh DUN Permas yang melibatkan isu kesesakan akibat lokasi 'bottle neck', jalan rosak, banjir kilat dan kemudahan awam bagi mengenal pasti keutamaan yang perlu diselesaikan.
"Ketiga, saya akan mendekati setiap komuniti untuk mengumpulkan pandangan dan maklum balas penduduk secara sistematik bagi membentuk pelan tindakan yang lebih tepat, bersasar dan memenuhi keperluan setempat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman tawaran Sharon Harapan Permas di Bilik Gerakan Operasi Utama Harapan di Permas Jaya di sini pada Isnin.
Turut hadir Ketua Wanita Muda Amanah Nasional, Masturah Abu Bakar.
Menurut Sharon, bagi tawaran kedua ialah memperjuangkan Pelan Trafik Permas 2030 sebagai pelan tindakan jangka panjang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Permas dan laluan sekitarnya.
Katanya pelan itu akan dibangunkan menerusi kajian aliran trafik bersama agensi berkaitan, bagi mengenal pasti penyelesaian menyeluruh yang boleh dilaksanakan secara berfasa.
"Dalam usaha memperkasakan golongan muda pula dalam tawaran ketiga, saya berhasrat mewujudkan Permas Youth Hub sebagai ruang komuniti untuk anak muda berkumpul, belajar, berkarya dan menganjurkan pelbagai aktiviti.
"Pejabat ADUN juga akan membuka permohonan setiap tahun kepada kumpulan belia untuk mencadangkan program komuniti dengan sokongan dari segi tempat, jaringan, promosi dan bantuan penganjuran.
"Tawaran keempat membabitkan wanita dan keluarga, dengan memperjuangkan Permas sebagai kawasan yang lebih mesra wanita dan keluarga melalui penyediaan kemudahan awam yang mengambil kira keperluan ibu, bayi dan kanak-kanak, di samping mengutamakan aspek keselamatan dan keselesaan keluarga," katanya.
Bagi tawaran ke lima, Sharon juga mahu memperjuangkan pemerkasaan komuniti Sabah dan Sarawak di Permas menerusi usaha menaik taraf Pasar Borneo sebagai pusat ekonomi dan budaya, di samping membina sebuah Dewan Komuniti Borneo sebagai pusat aktiviti masyarakat.
Pada masa sama katanya menerusi tawaran ke enam, Sharon komited menjadikan Dialog Komuniti Permas sebagai platform interaksi tetap antara wakil rakyat dan penduduk.
"Pendekatan menjadikan saya akan turun padang secara berkala ke setiap zon dan komuniti bagi mendengar isu setempat, mendapatkan cadangan serta membincangkan penyelesaian secara terus bersama rakyat dan agensi berkaitan.
"Manifesto ini bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya komitmen untuk memastikan setiap isu rakyat diberi perhatian dan diselesaikan secara berperingkat demi kesejahteraan penduduk Permas," katanya.




