
KOTA TINGGI – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah langkah tepat kerana tiada masa yang benar-benar “sempurna” untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.
Beliau berkata jadual pilihan raya perlu mengambil kira faktor cuaca dan musim perayaan panjang di Johor.
“Menjelang November hingga Januari kita berdepan monsun dan banjir, khususnya di Kota Tinggi. Februari dan Mac pula bertembung dengan sambutan Hari Raya yang biasanya panjang di Johor,” katanya pada program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Kota Tinggi.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menambah, jika kerajaan negeri melihat masa sekarang paling sesuai, maka ruang itu harus diberikan kepada rakyat untuk membuat keputusan.
Mengenai persediaan jentera, beliau menegaskan Umno sentiasa bekerja menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengira musim pilihan raya, selain hubungan dalam Kerajaan Perpaduan kekal utuh.
“Realiti politik hari ini berbeza. Tidak mungkin ada lagi parti yang mendominasi sendirian. Pentadbiran kini pelbagai komposisi, di pusat begini, di negeri pula berbeza,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Mengenai pembubaran DUN Negeri Sembilan, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan menegaskan sebarang keputusan pembubaran DUN mesti melalui prosedur perundangan dan perlembagaan negeri. - 2 Jun, 2026
The post PRN Johor tepat waktu: Khaled Nordin appeared first on Scoop.






