PRN Johor: Tolak Sikap Angkuh, Berkempen, Bersaing Secara Berhemah - Anwar 

LocalPolitics
26 Jun 2026 • 7:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Johor: Tolak Sikap Angkuh, Berkempen, Bersaing Secara Berhemah - Anwar 

KUALA LUMPUR - Semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diminta mengekalkan sikap berhemah, rendah diri serta beretika sepanjang tempoh berkempen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persaingan dalam demokrasi seharusnya menyatukan rakyat, bukan memecah belahkan mereka.

Menjelang hari penamaan calon yang dijadualkan berlangsung esok, beliau berkata, pertandingan membabitkan tiga atau lebih calon merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi, namun semua parti perlu berkempen secara bermaruah dan mengelakkan sikap angkuh.

“Pertandingan tiga atau enam penjuru adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi. Yang penting, kempen dijalankan dengan sopan, berakhlak baik dan tidak melupakan asal usul.

“Bagi kami dalam Pakatan Harapan, kami akan terus mendekati rakyat berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan. Jangan bersikap angkuh, jangan berkata ‘tolak orang itu, tolak mereka’…sebaliknya lebih baik kita bekerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Dengkil.

Perdana Menteri berkata, ahli politik perlu mengamalkan pendekatan yang lebih sederhana dengan memberi tumpuan kepada usaha mendekati dan berkhidmat kepada rakyat, berbanding terus memperdalam perpecahan politik.

“Malaysia adalah seperti yang kita lihat hari ini. Kita perlu mengamalkan sikap yang lebih sederhana. Berusahalah untuk berkhidmat dan mendekati seramai mungkin masyarakat di negara ini,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan pada 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sekali gus membuka laluan kepada PRN Johor ke-16.

Barisan Nasional (BN) memasuki pilihan raya kali ini sebagai penyandang kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi pada PRN Johor 2022. 

Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi manakala MUDA meraih satu kerusi.

Pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai, diikuti hari pengundian pada 11 Julai. - Getaran, 26 Jun 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved