PRN Johor: UMNO Selangor dakwa PH hipokrit isu 56 kerusi

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 7:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: UMNO Selangor dakwa PH hipokrit isu 56 kerusi
Mohd Zaidi

SHAH ALAM - UMNO Selangor mendakwa Pakatan Harapan (PH) bersikap hipokrit apabila mengkritik Barisan Nasional (BN) bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sedangkan gabungan itu turut berbuat demikian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, PH sudah mengumumkan hasrat bertanding di semua kerusi DUN Johor sejak 17 Mei lalu iaitu sebelum DUN dibubarkan pada 1 Jun.

"Apabila BN bertanding semua 56 kerusi, PH kata BN angkuh, tetapi apabila PH bertanding semua kerusi, mereka menganggapnya sebagai usaha mewujudkan kestabilan.

"Ini bukan soal prinsip, sebaliknya jelas menunjukkan sikap hipokrit," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zaidi berkata, tindakan PH yang mendakwa kerajaan negeri perlu sealiran dengan kerajaan Persekutuan juga menggambarkan seolah-olah rakyat Johor tidak mampu menentukan kerajaan negeri mereka sendiri.

Katanya, Johor mempunyai mandat dan kekuatan tersendiri serta rekod pentadbiran yang terbukti tanpa perlu dipaksa menerima formula politik mana-mana pihak.

Beliau mendakwa, tindakan beberapa pimpinan PH yang menggesa pengundi Cina menolak parti lain bagi mengelakkan perpecahan undi turut memperlihatkan sikap angkuh.

"Seolah-olah undi masyarakat Cina adalah milik tetap PH. BN Johor tidak angkuh, sebaliknya hanya mempertahankan mandat rakyat, rekod pentadbiran serta hak bangsa Johor untuk memilih kerajaan stabil, berpengalaman dan memahami denyut nadi negeri itu," tambah beliau.

Mohd Zaidi berkata, rakyat Johor wajar menolak apa yang disifatkannya sebagai politik hipokrit dan keangkuhan yang dibawa PH menjelang PRN Johor.

"Kalau inilah wajah politik baharu yang PH mahu tawarkan kepada Johor, maka rakyat wajar menolaknya.

"Johor tidak perlukan parti yang datang dengan wajah kestabilan, tetapi membawa sikap sombong, hipokrit dan penuh keangkuhan politik," jelas beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved