PRN Melaka: 150 peniaga kembali ke Pantai Puteri

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PRN Melaka: 150 peniaga kembali ke Pantai Puteri

MELAKA – Pembangunan Pantai Puteri, di sini menjadi pe­mangkin ekonomi komuniti setempat menerusi penyediaan kemudahan rekreasi dan perniagaan lebih tersusun, sekali gus meningkatkan daya tarikan kawasan itu kepada pengunjung.

Perancangan berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan awam, malah memastikan kira-kira 150 peniaga sedia ada terus mempunyai peluang menjana pendapatan selepas kerja penambakan pantai selesai.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, kerja penambakan pantai dijangka siap menjelang akhir tahun ini sebelum penyusunan semula gerai dilakukan.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, semua 150 peniaga akan diberikan ruang untuk meneruskan perniagaan di lokasi lebih teratur sebagai sebahagian daripada usaha mengindahkan kawasan Pantai Puteri.

“Saya nak jelaskan, tidak akan ada satu gerai pun yang ditutup seperti yang diuar-uarkan kononnya apabila saya menang nanti.

“Sekarang ini keadaan mungkin agak kurang selesa kerana kerja penambakan pantai sedang dijalankan. Selepas siap hujung tahun ini, kita akan susun semula gerai mengikut perancangan.

“Saya berjanji kepada peniaga, tidak akan ada seorang pun yang tidak dapat berniaga. Insya-Allah, 150 peniaga akan disusun semula,” katanya kepada Kosmo!.

Ujarnya, pembangunan kawasan itu turut merangkumi penyediaan lokasi riadah, tapak perkhemahan, laluan pejalan kaki dan kawasan makanan bagi mewujudkan persekitaran lebih menarik dan selesa buat pengunjung.

Katanya, kemudahan itu diharap dapat memperkukuh tarikan Pantai Puteri sebagai lokasi rekreasi, selain membuka ruang kepada perkembangan aktiviti perniagaan penduduk setempat.

“Antara kemudahan yang sudah dilaksanakan sepanjang tempoh menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor adalah pemasangan lampu di sepanjang kawasan pantai.

“Sejak saya menjadi ADUN di sini, kita dapat memasang lampu di sepanjang pantai. Itu antara perancangan yang sudah dilaksanakan dalam pelan pemba­ngunan Pantai Puteri.

“Kita juga mahu meneruskan pembangunan yang sudah dirancang supaya kawasan ini menjadi lebih cantik dan selesa,” katanya.

Menurut Tuminah, gagasan Melaka Sayang Rakyat (Mesra) bukan sekadar slogan, sebaliknya di­terjemahkan menerusi penyaluran bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan, termasuk warga emas dan pesakit kronik.

Katanya, maklum balas penduduk menunjukkan inisiatif berkenaan memberi kesan kepada kehidupan rakyat, khususnya mereka yang berdepan masalah kesihatan dan memerlukan bantuan.

“Jika ada rakyat yang sakit, kita tidak menunggu lama untuk menyalurkan bantuan sewajar­nya sebelum ini dan alhamdulillah boleh dikatakan rata-ratanya telah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” tambahnya.

The post PRN Melaka: 150 peniaga kembali ke Pantai Puteri appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved