PRN Melaka: Annuar Musa beri bayangan rundingan politik hampir selesai

LocalPolitics
13 Oct 2026 • 10:36 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Annuar Musa beri bayangan rundingan politik hampir selesai
Annuar Musa

PUTRAJAYA – Rundingan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka didakwa memasuki fasa akhir, susulan perkembangan positif perbincangan antara Pas dan BN.

Menerusi hantaran di Facebook, Tan Sri Annuar Musa menyatakan rundingan berkenaan sudah berada di fasa akhir, manakala Jawatankuasa Pas Pusat (JPP) bersedia menjayakan misi parti.

“Difahamkan rundingan sudah di fasa akhir. JPP akur dan siap siaga jayakan misi parti," kata ahli JPP itu pada Selasa.

Walaupun Annuar tidak memperincikan rundingan yang dimaksudkan, perkembangan itu hadir ketika perbincangan kerjasama Pas-BN bagi menghadapi PRN Melaka menunjukkan kemajuan.

Pada 10 Oktober lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebahagian besar rundingan kerjasama dengan BN sudah mencapai persetujuan asas, namun jumlah kerusi yang akan ditandingi serta pemilihan calon masih dalam perbincangan.

Sebelum itu, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan gabungan berkenaan dijangka bertanding lebih empat kerusi pada PRN Melaka dan jumlah sebenar akan dimuktamadkan selepas rundingan dengan UMNO.

PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 14 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Dengan hari mengundi berbaki kira-kira sebulan, sebarang perkembangan rundingan politik berpotensi memberi petunjuk mengenai strategi parti menjelang pilihan raya berkenaan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved