
KUALA LUMPUR : Perikatan Nasional (PN) mengesahkan akan bertanding lebih empat kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
“Kita sudah ada perbincangan peringkat awal, peringkat draf pertama. Tapi saya jangka dalam masa terdekat ini akan dimuktamadkan. Ada perbincangan dengan UMNO dan Barisan Nasional,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2027 di pekarangan lobi Parlimen, hari ini.
Bulan lalu, Tuan Ibrahim berkata PN dan PAS dijangka bertanding antara tujuh hingga 10 kerusi pada PRN berkenaan.
Beliau turut memaklumkan PN dan Umno sudah mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi serta merangka asas kerjasama bagi menghadapi pilihan raya itu.
Jumlah 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menjadi ‘garis merah’ Barisan Nasional (BN) Melaka, dalam rundingan pembahagian kerusi dengan parti yang bakal menjadi rakan strategiknya pada pilihan raya kali ini.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, parti itu bersedia membuka ruang rundingan bagi pertukaran kerusi atau `cross-swap’ dengan rakan sefahaman politik pada PRN berkenaan, namun jumlah 21 kerusi yang dimenangi BN pada 2021 itu tetap perlu dipertahankan. – UTUSAN
The post PN bertanding lebih 4 kerusi PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.






