PRN Melaka: Bapa bangga bawa dua anak mengundi kali pertama

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 12:32 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PRN Melaka: Bapa bangga bawa dua anak mengundi kali pertama

BUKIT KATIL, 14 NOV: Melihat dua anak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama menjadi detik membanggakan buat Al Naim Jenal, 48, yang mahu memastikan mereka memahami nilai dan hak mereka sebagai warganegara.

Lebih bermakna, pengalaman itu dapat dikongsi bersama ahli keluarga lain apabila mereka hadir ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.

Menurut Al Naim, daripada tujuh ahli keluarganya yang layak mengundi, lima orang sudah hadir pada pagi ini, termasuk dua anaknya yang masing-masing berusia 19 dan 21 tahun.

Image from: PRN Melaka: Bapa bangga bawa dua anak mengundi kali pertama
Al Naim Jenal, 48, selesai membuang undi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Melaka pada 14 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Keluarga saya yang layak mengundi tujuh orang, tetapi yang hadir pagi ini lima orang. Ada lagi dua belum sampai. Yang kali pertama mengundi dua orang, berusia 19 dan 21 tahun.

“Saya sebagai bapa memang gembira sebab mereka menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara. Apa yang penting, kita sebagai bapa perlu jelaskan kepada anak-anak tentang hak kita sebagai pengundi,” katanya ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, di sini.

Bagi Al Naim, pendedahan mengenai proses demokrasi perlu diberikan sejak usia muda supaya anak-anak memahami bahawa setiap undi membawa suara dan peranan dalam menentukan masa depan negara.

Katanya, kedua-dua anaknya juga menunjukkan keterujaan untuk melalui pengalaman pertama sebagai pengundi, sekali gus membuktikan mereka bersedia memikul tanggungjawab tersebut.

“Anak-anak muda ini akan memberi impak kepada masa depan negara. Setakat ini mereka tiada masalah, malah teruja untuk mengundi buat kali pertama,” katanya.

Image from: PRN Melaka: Bapa bangga bawa dua anak mengundi kali pertama
Pengundi menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Melaka pada 14 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

SK Jalan Datuk Palembang merupakan antara pusat mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang menyediakan tiga saluran.

DUN Bukit Katil mempunyai lebih 30,000 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini.

Di seluruh Melaka, sebanyak 31.07 peratus pengundi berdaftar telah keluar mengundi setakat jam 11.30 pagi tadi.

Image from: PRN Melaka: Bapa bangga bawa dua anak mengundi kali pertama
Pengundi menunjukkan jari yang ditandai dakwat kekal selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Melaka pada 14 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved