PRN Melaka: Bendera PH dicabut dan dibuang, tiga lelaki dirakam CCTV

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 11:29 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Bendera PH dicabut dan dibuang, tiga lelaki dirakam CCTV
Rakaman CCTV menunjukkan tiga lelaki merosakkan bendera PH yang dipasang di Kampung Lapan, Kota Laksamana.

KOTA MELAKA - Puluhan bendera Pakatan Harapan (PH) yang dipasang di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana didakwa dirosakkan dalam kejadian awal pagi Rabu.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku di tepi jalan utama Kampung Lapan, di sini.

Calon PH bagi DUN Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, beliau kesal dengan kejadian berkenaan yang dipercayai dilakukan tiga lelaki berdasarkan keterangan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

"Berdasarkan rakaman CCTV berhampiran, kesemua lelaki berpakaian gelap itu dilihat menghampiri bendera sebelum bertindak menurunkan dan membuangnya ke tanah.

"Ada juga saksi yang melihat kejadian itu cuba menegur dan mengejar mereka, namun ketiga-tiga lelaki terbabit melarikan diri ke arah sebuah pangsapuri berhampiran," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Tengkera, Melaka Tengah pada Rabu jam 8.39 pagi.

Menurut Chee Leong, pihaknya kesal dengan tindakan sedemikian kerana berpendapat kempen pilihan raya seharusnya berlangsung secara baik dan matang.

Beliau berkata, pasukan kempen PH DUN Kota Laksamana memasang bendera di lokasi berkenaan sekitar jam 1 pagi Selasa.

“Ketua Menteri sementara Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini menegaskan semua parti politik perlu berkempen secara sihat dan adil.

"Saya berharap tiada lagi kejadian sabotaj seperti ini berlaku. Apapun yang terjadi, saya dan pasukan tidak akan patah semangat, sebaliknya terus bekerja keras demi memastikan kemenangan di sini dapat dipertahankan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved