PRN Melaka: Calon PH Duyong pilih 'shake hand', bukan kejar 'like'

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 2:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Calon PH Duyong pilih 'shake hand', bukan kejar 'like'
Long Suan (kanan) bersalaman dengan penduduk sewaktu turun berkempen di Pasar Malam Taman Seri Duyong.

KOTA MELAKA - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Poo Long Suan memilih pendekatan turun padang dan bersalaman dengan seramai mungkin pengundi berbanding mengejar populariti di media sosial dalam usaha memperkenalkan dirinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Menurutnya, media sosial penting tetapi bukan segala-galanya dalam kempen pilihan raya kerana platform itu lebih cenderung menjangkau kelompok masyarakat tertentu dalam dunia maya, sedangkan hubungan dengan pengundi perlu dibina menerusi pertemuan secara bersemuka.

“Saya lebih kepada usaha untuk berjumpa seramai mungkin pengundi dan berinteraksi dengan ikhlas. Kita jumpa mereka, bersalaman dan mendengar keadaan mereka, sama ada ada masalah atau keluhan yang mahu dikongsikan.

“Itu lebih realiti berbanding kita mempunyai banyak tanda suka (like) di media sosial. Daripada berusaha mendapatkan tanda suka itu, lebih baik kita berusaha menyelesaikan masalah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Gerakan PH DUN Duyong, di sini.

Long Suan yang juga graduan Sarjana Muda Sains Kimia Gunaan dari Universiti Malaya dan pernah dipilih sebagai Ahli Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Terbaik 2025 berkata, setakat ini kira-kira 40 peratus kawasan Duyong sudah diliputi dalam aktiviti kempen.

Jelasnya, pendekatan turun padang bukan sahaja melibatkan kunjungan dari rumah ke rumah, malah turut merangkumi pertemuan dengan orang ramai ketika mereka keluar bekerja atau menghadiri kenduri.

Menurutnya, menghadiri sesuatu majlis kenduri membolehkannya bersalaman dengan kira-kira 1,000 orang, berbanding kunjungan dari rumah ke rumah selama dua jam yang mungkin hanya menemukan beliau dengan 80 hingga 100 penduduk.

Bagaimanapun, katanya, jumlah individu yang ditemui bukan ukuran utama kerana perkara lebih penting ialah hubungan dan interaksi yang terjalin, termasuk melalui pandangan mata ketika berkomunikasi.

Dalam pada itu, Long Suan berkata, populariti penyandang kerusi DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem atau lebih dikenali sebagai YB Helmy, khususnya di media sosial, tidak mematahkan semangatnya untuk mencabar Barisan Nasional (BN) pada PRN kali ini.

Beliau mengakui ada rakan yang berkongsi mengenai populariti Mohd Noor Helmy dan mencadangkan supaya beliau bertanding di kawasan lain.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pernah terfikir untuk berundur atau meminta pertukaran kawasan kerana yakin dengan potensi pengundi Duyong.

“Memang ramai kawan berkongsi dengan saya di media sosial dan bertanya, tidak bolehkah kalau tukar tempat? Tetapi seperti yang Pengerusi DAP Melaka cakap, saya tidak pernah sekali pun mahu berundur atau meminta untuk bertukar tempat,” katanya.

Long Suan berkata, keyakinannya untuk bertanding di kawasan itu turut bersandarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menurutnya menunjukkan sokongan lebih memihak kepada PH di kawasan berkenaan.

DUN Duyong menjadi antara kerusi yang mendapat perhatian pada PRN kali ini apabila menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Long Suan dan Mohd Noor Helmy yang mempertahankan kerusi berkenaan.

Kerusi itu juga mempunyai sejarah persaingan rapat apabila Mohd Noor Helmy memenanginya pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti hanya 200 undi.

Beliau memperoleh 4,684 undi berbanding calon PH ketika itu, Damian Yeo Shen Li yang meraih 4,484 undi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved