
KUALA LUMPUR, 17 OKT: Pengalaman, rekod khidmat kepada masyarakat dan kebolehan memenangi kerusi menjadi antara kriteria utama Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam memilih calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengarah Pilihan Raya gabungan itu Dato’ Seri Amirudin Shari berkata parti itu turut mempertimbangkan calon daripada pelbagai latar belakang termasuk penyandang, calon muda, wanita, individu berpengalaman serta pelbagai kaum.
“Mereka kena berbakti kepada masyarakat, mempunyai pengalaman dan ada winnability.
“Ada setengah kawasan itu adalah kawasan yang kita nak pamerkan atau berikan peluang kepada calon supaya mereka menimba pengalaman termasuk di kawasan yang mungkin sokongan asas kita agak rendah yang memberikan pelan jangka panjang kepada parti dan pakatan.
“Semua ada. Calon lama, ada calon muda dan ada calon yang berpengalaman kita masukkan. Calon wanita juga sudah pasti ada daripada pelbagai kaum,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Semarak Kasih Murid Tingkatan Lima Yayasan Selangor 2026 yang meraikan 740 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurutnya, proses tapisan akhir calon sedang dijalankan, dengan hala tuju lebih jelas dijangka diumumkan dalam tempoh seminggu.
Amirudin berkata gabungan itu juga sedang memuktamadkan beberapa keputusan berkaitan persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan.
Mengulas kemungkinan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), beliau berkata perkara itu masih perlu diputuskan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
Semalam, Amirudin memaklumkan HARAPAN akan mengumumkan senarai calon bagi PRN Melaka pada 24 Oktober ini.
Beliau berkata keputusan berhubung senarai calon akan dibuat bersama presiden dan kepimpinan tertinggi HARAPAN sebelum tarikh pengumuman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon bagi PRN Melaka ke-16, manakala pengundian awal dijadualkan pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.






