Tidak pernah sebut mahu jadi calon Sungai Udang – Idris Haron

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 11:13 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tidak pernah sebut mahu jadi calon Sungai Udang – Idris Haron

MELAKA – “Pintu perbincangan saya sentiasa terbuka tetapi pihak lain tidak boleh menentukan pendirian saya”.

Demikian kata bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, yang menegaskan dia tidak pernah menutup pintu kepada kemungkinan untuk kembali ke gelanggang politik.

Menurutnya, ia termasuk mempertimbangkan tawaran atau cadangan berkaitan hala tuju politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Idris berkata demikian bagi menjelaskan spekulasi yang mengaitkan namanya dengan kemungkinan bertanding di DUN Sungai Udang dalam Parlimen Tangga Batu itu menjelang PRN Melaka pada 14 November ini.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, spekulasi itu menyebabkan dirinya dihujani banyak pertanyaan menerusi mesej WhatsApp dan panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang ingin mendapatkan kepastian.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempunyai cadangan, tawaran dan hasrat untuk berbincang berkaitan kerjaya politik saya, perkara itu boleh dibawa ke meja perbincangan dan dibincangkan secara harmoni,” katanya di pejabatnya di Klebang, di sini semalam.

Begitupun beliau berkata, keterbukaannya untuk mengadakan perbincangan itu tidak seharusnya dianggap sebagai pengesahan beliau sudah membuat keputusan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

Bagaimanapun, katanya, sokongan dan kesediaan pihak tertentu itu tidak bermakna beliau sudah membuat keputusan untuk kembali bertanding dalam PRN Melaka.

“Saya tidak pernah menyebut bahawa saya mahu menjadi calon di Sungai Udang. Saya merasakan perkara ini perlu diperjelaskan supaya tidak terus menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat, terutama mereka yang mengikuti perjalanan politik saya,” katanya.

Idris berkata, sebarang keputusan berkaitan masa depan politiknya perlu dibuat berdasarkan pertimbangan sendiri dan bukannya ditentukan oleh andaian atau persepsi pihak lain.

Idris menjadi Ketua Menteri Melaka ke-10 selama satu penggal selepas memenangi kerusi DUN Sungai Udang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dan 2018 atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pada PRN Melaka 2021, beliau bertanding di DUN Asahan dalam Parlimen Alor Gajah atas tiket PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH), namun tewas kepada calon BN, Datuk Fairul Nizam Roslan.

The post Tidak pernah sebut mahu jadi calon Sungai Udang – Idris Haron appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved