PRN Melaka: BN-PN ‘sah’ menang 24 DUN, calonkan Ab Rauf Ketua Menteri

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 9:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PRN Melaka: BN-PN ‘sah’ menang 24 DUN, calonkan Ab Rauf Ketua Menteri

AYER KEROH – Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh kemenangan besar apabila menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tidak rasmi itu membolehkan gabungan berkenaan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.

Malah, beliau mengumumkan BN dan PN mencalonkan penyandang Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai calon Ketua Menteri Melaka.

Katanya, watikah pencalonan Ab Rauf akan dihantar kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka pada malam ini.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala atas kejayaan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang telah memperoleh majoriti yang kukuh secara tidak rasmi 24 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka.

“Dan dengan ini, insya-Allah, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional akan membentuk Kerajaan Negeri Melaka,” katanya pada sidang akhbar di BN Command Center di MITC sini malam ini.

Menurut beliau, kemenangan itu membuktikan rakyat Melaka terus memberikan kepercayaan kepada rekod pencapaian, kestabilan dan hala tuju pembangunan yang ditawarkan kedua-dua gabungan berkenaan.

Katanya, kemenangan itu turut meneruskan momentum gelombang biru yang bermula di Johor sebelum disusuli negeri lain.

Beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai kemenangan hatrik tiga kali berturut-turut, namun menegaskan ia bukan alasan untuk BN dan PN berasa selesa.

Sebaliknya, katanya, mandat diberikan rakyat membawa amanah besar untuk melaksanakan setiap aku janji manifesto serta memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.

“Kami sedar bahawa mandat yang diberikan membawa amanah besar untuk melunaskan setiap aku janji manifesto serta memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat negeri Melaka tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN dan PN, sukarelawan serta penyokong yang membantu memastikan kemenangan gabungan berkenaan.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Melaka melupakan perbezaan politik selepas pilihan raya bagi membolehkan kerajaan baharu memberi tumpuan kepada pembangunan negeri.

Katanya, kerjasama BN dan PN akan terus diperkukuhkan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil, kukuh dan berwibawa. – KOSMO! ONLINE

The post PRN Melaka: BN-PN ‘sah’ menang 24 DUN, calonkan Ab Rauf Ketua Menteri appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved