
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada 23 September lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka secara rasminya telah dibubarkan.
Pembubaran ini sekaligus memberi laluan kepada Melaka untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diumumkan kelak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Meskipun belum ada tarikh rasmi, kebanyakan parti politik dilihat giat merancang strategi tersendiri serta memastikan calon yang dipilih dapat memenangi hati pengundi.
Baca Artikel Berkaitan: DUN Melaka Secara Rasmi Dibubarkan Esok – Ab Rauf
Calon UMNO-BN Perlu Aktif Media Sosial, Jadi Kriteria Pemilihan Calon
Terbaharu, calon yang tidak aktif di media sosial bakal berhadapan dengan kesukaran untuk dipilih untuk bertanding di PRN Negeri Melaka pada masa akan datang.
Menurut Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, aktiviti calon di media sosial merupakan antara perkara yang akan diambil kira dalam pemilihan selain kriteria lain yang telah ditetapkan.
Jelas Ahmad Maslan yang merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya, calon perlu mempunyai keupayaan menggunakan pelbagai platform media sosial termasuklah Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan X.
Ini kerana jelasnya media sosial menjadi medium perhubungan dan saluran penting untuk mendekati rakyat.
“Calon (UMNO-BN) kita, kaedah (pemilihan) tiga calon (dikemukakan) itu tentunya pihak kita yang ingin memilih melihat adakah nama-nama itu aktif atau tidak di media sosial.
“Jika mereka Facebook tak ada, Instagram tak ada, TikTok tak ada, Threads tak ada, Twitter, X jauh sekali, aduhai payah betul nak jadi calon ni,” katanya yang dipetik dari Kosmo.
Calon Dipilih Perlu Penuhi Kriteria ‘WALI’
Tambahnya lagi, calon yang dipilih juga perlu memenuhi kriteria ‘WALI’ iaitu ‘Winnable’, ‘Acceptable’, ‘Likeable’ dan ‘Integrity’.
Malah, mereka juga perlu mengambil kira enam faktor kemenangan yang telah digariskan menerusi formula War Room UMNO.
“Enam faktor kemenangan itu ialah aktiviti berterusan, berpadu semua jentera, calon yang terbaik, data yang digunakan, emosi rakyat serta funds dan finance (kewangan).
“Proses pemilihan calon UMNO/Barisan Nasional (BN) akan melalui tiga peringkat saringan iaitu di peringkat bahagian, negeri dan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO bersama pasukan tertentu,” ujarnya.
Calon Kena Pandai Jawab, Jangan Hanya Berdiam Diri
Tambah Ahmad Maslan lagi, calon UMNO yang bakal bertanding juga perlu bijak menjawab serta menyerang kembali naratif yang dimainkan oleh pihak lawan.
Ini kerana jelasnya, pendekatan berdiam diri bukan lagi menjadi pilihan dalam perang media sosial.
Sebaliknya, seseorang calon itu perlu pantas dalam memberi respons terhadap isu yang dibangkitkan untuk membentuk naratif masing-masing.
“Yang penting dalam media sosial ini, kita kena jawab balik. Bila mereka membina naratif yang tertentu maka kita kena segera menjawab balik.
“Kita jangan bertahan, kita kena jawab dan serang balik. Media sosial itu sahaja dia punya permainan,” katanya yang dipetik dari Malaysia Gazette.
Baca Artikel Berkaitan: PRN Melaka : Semua Majlis Rasmi Kerajaan & Swasta Tidak Dibenarkan Dari 4 – 27 November
Baca Artikel Berkaitan: ‘Naratif Jika BN Menang Tuanku Muhriz Jatuh Adalah Perang Psikologi’ – Tok Mat [Video]






