
ALOR GAJAH – Calon yang tidak aktif di media sosial berdepan kesukaran untuk dipilih bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, aktiviti calon di media sosial antara perkara yang akan diambil kira dalam pemilihan, selain kriteria lain yang ditetapkan.
Katanya, calon perlu mempunyai keupayaan menggunakan pelbagai platform media sosial termasuk Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan ‘X’ kerana medium berkenaan kini menjadi saluran penting mendekati rakyat.
“Calon (UMNO-BN) kita, kaedah (pemilihan) tiga calon (dikemukakan) itu tentunya pihak kita yang ingin memilih melihat adakah nama-nama itu aktif atau tidak di media sosial.
“Jika mereka Facebook tak ada, Instagram tak ada, TikTok tak ada, Threads tak ada, Twitter X jauh sekali, aduhai payah betul nak jadi calon ni,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Ahmad Maslan berkata, calon yang ingin dipilih turut perlu memenuhi kriteria ‘WALI’ iaitu ‘Winnable’, ‘Acceptable’, ‘Likeable’ dan ‘Integrity’, selain mengambil kira enam faktor kemenangan yang digariskan menerusi formula War Room UMNO.
“Enam faktor kemenangan itu ialah aktiviti berterusan, berpadu semua jentera, calon yang terbaik, data yang digunakan, emosi rakyat serta funds dan finance (kewangan).
“Proses pemilihan calon UMNO/Barisan Nasional (BN) akan melalui tiga peringkat saringan iaitu di peringkat bahagian, negeri dan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO bersama pasukan tertentu,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem sebagai antara contoh pemimpin politik yang berjaya mengolah kandungan media sosial sehingga mendapat perhatian ramai.
“Datuk YB Duyong adalah ikon media sosial Malaysia untuk kalangan orang politik. Oleh itu tentunya Melaka faham bagaimana Datuk YB sebelum ini, ADUN Duyong melaksanakan apa yang cukup viral yang dibuat oleh beliau,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post PRN Melaka: Tak aktif media sosial, susah jadi calon – Ahmad Maslan appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] Dugaan betul berbaris panjang naik bas balik F1](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/1294b75d-7e05-46f6-95e5-58db1a5efb2a-1024x766.jpeg)


