
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin terasa apatah lagi hanya kurang sehari sahaja lagi hari mengundi bakal tiba.
Pada ketika ini dapat dilihat calon dari pelbagai parti giat berkempen bagi memenangi hati pengundi.
Abdul Hadi Seru Ahli Pas Undi BN-PN, Ibaratkan Situasi Seperti Ambil Wuduk Sebelum Solat
Terbaharu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru ahli parti Islam untuk mengundi calon dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di kawasan yang ditandingi mereka dalam PRN Melaka pada esok hari.
Jelas Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, kewajipan itu diibaratkan seperti mengambil wuduk sebelum menunaikan ibadah solat yang wajib dalam Islam meskipun wuduk pada asalnya bukanlah satu kewajipan, lapor Malaysia Gazette.
Tambahnya, sesuatu perkara yang pada asalnya tidak wajib boleh menjadi wajib apabila ia diperlukan untuk menyempurnakan perkara yang diwajibkan.
“Kaedah Islam mengatakan apa yang tak semuanya yang wajib, melainkan dengannya jadi wajib.
“Contohnya kita ambil air sembahyang. Asalnya tak wajib. Tapi kalau sembahyang itu wajib, syarat sah sembahyang kena ada wuduk. Maka wuduk kerana nak sembahyang wajib.
“Begitulah perpaduan. Perpaduan itu wajib bagi orang Islam. Kita kena bersatu, maka bersatu kerana nak dapat kuasa Islam adalah wajib termasuklah mengundi,” katanya yang dipetik dari Malaysia Gazette.
Abdul Hadi berkata demikian ketika sidang media yang diadakan di kediaman Datuk Yasin Sarif yang merupakan bapa kepada calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin di Kampung Paya Rumput.
Kerjasama Politik Melaka Hasil Sikap Tolak Ansur Antara Parti
Tambahnya lagi, kerjasama politik di Melaka merupakan hasil sikap tolak ansur di antara parti terlibat khususnya dari pembahagian kerusi yang bertujuan untuk mengelakkan dari pertembungan sesama sendiri.
Jelasnya, Pas bersetuju memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kawasan tertentu dan akan memberi sokongan terhadap calon parti itu.
Langkah itu bagi memastikan kerjasama terbabit dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan pengundi.
Ahli Pas Perlu Sokong Calon UMNO, MCA dan MIC, Sifatkan gabungan BN-PN Di Tangga Batu Sebagai Perkembangan Yang Positif
Mengulas mengenai kerjasama BN-PN di Tangga Batu, Abdul Hadi menyifatkan ia sebagai satu perkembangan positif.
Ini kerana jentera parti yang tidak bertanding membantu calon yang bertanding.
Jelasnya, ahli Pas perlu menyokong calon daripada UMNO, MCA dan MIC di kawasan yang ditandingi oleh mereka.
Begitu juga ahli-ahli parti tersebut yang perlu memberi sokongan kepada calon Pas atau PN di kawasan yang ditandingi mereka.
Dia menyifatkan kerjasama politik di Melaka lebih tersusun berbanding pengalaman sebelum itu termasuk di Negeri Sembilan dan Johor.
Abdul Hadi Bimbang Jika Pengundi Melayu Tidak Keluar Mengundi
Pada masa sama, Abdul Hadi turut menyuarakan kebimbangannya terhadap kemungkinan pengundi Melayu tidak keluar mengundi sehingga menyebabkan kuasa politik Melayu terjejas jika berlaku perpecahan sesama sendiri.
“Apa yang kita bimbang, orang Melayu tak keluar mengundi. Orang bukan Islam keluar mengundi.
“Bila mereka ramai keluar mengundi, kita orang tak keluar mengundi, berpecah sama sendiri pula, kuasa politik hilang,” katanya.
Abdul Hadi sekali lagi turut mengingatkan keperluan untuk ahli Pas mengundi calon BN dan ahli BN mengundi calon PN dalam satu hantaran di Facebook.
Baca Artikel Berkaitan: Umat Islam Wajib Keluar Mengundi, Pilih Pemimpin Melayu Islam & Bukan Islam Yang Tak Ekstrem – Presiden Pas
Baca Artikel Berkaitan: ‘Abdul Hadi Awang Tak Ada Hak Atau Kuasa Veto Untuk Tentukan Kedudukan BERSATU Dalam PN’ – Azmin Ali






