Sivamalar Tempelak Hadi, Cabar MCA, MIC, MIPP Dan Gerakan Pertahan Maruah Bukan Islam

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 2:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang membandingkan kejahatan orang Islam dengan kezaliman orang bukan Islam mencetuskan kecaman keras apabila ia disifatkan sebagai penghinaan terhadap masyarakat bukan Islam.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, ia mencerminkan kemerosotan wacana politik negara.

Tegas beliau, kenyataan sedemikian sebagai tidak boleh diterima, apatah lagi apabila agama dijadikan ukuran untuk menilai kejahatan dan kezaliman seseorang.

Perbuatan seseorang tegasnya, adalah asas penilaian terhadap sesuatu kejahatan, bukan agama yang dianuti.

“Lebih mengejutkan, kenyataan itu dibuat di pentas kempen bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), kurang 48 jam sebelum rakyat Melaka keluar mengundi.

“Jika ketika memburu undi pun Tan Sri Hadi begitu berani mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan rakyat, bayangkan apa yang mampu beliau katakan dan lakukan jika diberi kuasa mentadbir negara!” katanya, keras.

Sivamalar Genapathy
Sivamalar Genapathy

Sivamalar turut mempersoalkan sama ada kenyataan sedemikian mencerminkan Malaysia yang mahu dibentuk PAS sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir negara.

Dalam masa sama, beliau menghalakan persoalan secara langsung kepada MCA, MIC, MIPP dan Gerakan, yang disifatkannya perlu menjelaskan pendirian apabila maruah masyarakat bukan Islam dipersoalkan sekutu politik sendiri.

“Di mana suara kamu apabila maruah masyarakat bukan Islam dipersoalkan di hadapan rakan politik sendiri?

“Adakah kepentingan politik dan kerusi pilihan raya lebih penting daripada prinsip mempertahankan keharmonian rakyat?” bidasnya, tajam.

Mengulas isu sama, Sivamalar turut mengingatkan semua parti terbabit supaya tidak hanya lantang memperjuangkan hak masyarakat bukan Islam ketika berkempen, tetapi memilih untuk membisu apabila penghinaan didakwa datang daripada rakan politik sendiri.

“Tan Sri Hadi perlu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka dan pimpinan BN serta PN perlu menyatakan pendirian secara jelas berhubung isu berkenaan.

“Berdiam diri bukan jawapan apabila pemimpin politik menggunakan agama untuk membezakan darjat manusia,” tegasnya.

Mengakhiri kenyataannya, beliau mengingatkan, pengundi Melaka bukan sekadar menentukan calon pilihan mereka, malah mempunyai hak untuk menilai prinsip serta pendirian kepimpinan parti yang meminta mandat.

“Malaysia memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat, bukan pemimpin yang menjadikan perbezaan agama sebagai senjata politik,” katanya. - Getaran, 13 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved