
MELAKA - Jentera Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan diselubungi berita duka susulan kematian seorang petugas pilihan rayanya, J Samivel, dalam kemalangan jalan raya di Jasin, hari ini.
Samivel, 62, yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Alor Gajah serta wakil kepada calon PH, P Denesh, disahkan meninggal dunia selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan buah-buahan di Jalan Pondok Batang Dalam, kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Berita pemergian Samivel turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, selain mengenang khidmat dan kesetiaan beliau kepada perjuangan parti selama ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan Samivel sebagai anggota parti yang telah lama berkhidmat dan tidak pernah berganjak daripada perjuangan PKR.
“Saya menerima berita dukacita mengenai pemergian sahabat seperjuangan kita, J Samivel. Sebagai Timbalan Ketua Cabang PKR Alor Gajah, Samivel telah lama berkhidmat dan kekal setia kepada perjuangan parti.
“Semoga segala jasa dan semangat beliau terus menjadi pedoman buat kita dalam meneruskan perjuangan ini,” katanya.
Anwar turut menyampaikan ingatan serta doa beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kepada keluarga mendiang serta seluruh warga parti yang terkesan dengan pemergian itu.
Beliau berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat sukar berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert, mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.45 tengah hari.
Mendiang merupakan antara individu penting yang membantu menggerakkan kempen Denesh sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Denesh yang ketika itu sedang menjalankan aktiviti bertemu penduduk dan menyantuni masyarakat di Kampung Jus Permai dilaporkan bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai tragedi berkenaan. - Getaran, 11 November 2026




