PRN Melaka: Kejayaan di kerusi kritikal bukti DAP mampu tarik sokongan pengundi – Loke

LocalPolitics
15 Nov 2026 • 8:02 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: PRN Melaka: Kejayaan di kerusi kritikal bukti DAP mampu tarik sokongan pengundi – Loke

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyifatkan kejayaan mempertahankan kerusi campuran kritikal Kesidang dan Ayer Keroh pada PRN Melaka membuktikan parti itu mampu menarik sokongan pengundi.

KLUANG: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyifatkan kejayaan parti itu mempertahankan kesemua empat kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk dua kerusi campuran kritikal iaitu Kesidang dan Ayer Keroh, sebagai pencapaian membanggakan.

Beliau berkata kejayaan mempertahankan Ayer Keroh amat bermakna memandangkan kerusi itu sebelum ini dikategorikan sebagai berisiko tinggi berdasarkan analisis awal keputusan pilihan raya.

Loke berkata berdasarkan penilaian di atas kertas, gabungan undi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka mampu mencabar kedudukan parti itu.

Bagaimanapun, katanya, keputusan rasmi membuktikan sebaliknya apabila DAP berjaya mempertahankan kerusi Ayer Keroh dengan majoriti selesa melebihi 5,000 undi, dengan parti itu meraih 55 peratus daripada jumlah undian.

“Ayer Keroh sebenarnya adalah satu kerusi campuran iaitu ada 40 peratus lebih pengundi Melayu dan kita mendapat lebih 20 peratus daripada pengundi-pengundi Melayu, terutamanya pengundi Melayu muda.

“Di saluran-saluran muda, kita mendapat sokongan walaupun bukannya majoriti, tetapi sokongan yang agak memuaskan… yang membolehkan kita memenangi kerusi itu dengan majoriti yang baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata pencapaian itu sekali gus berjaya menepis tanggapan bahawa DAP tidak mampu menarik sokongan pengundi Melayu, selain membuktikan keupayaan parti itu mengekalkan sokongan pelbagai lapisan masyarakat menerusi khidmat dan komitmen berterusan mendekati rakyat.

Mengulas tentang cabaran siri pilihan raya lepas, Loke mengakui terdapat trend penurunan peratusan keluar mengundi dalam kalangan penyokong tegar DAP, khususnya di kawasan bandar termasuk di Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau berkata keadaan itu antara lain berpunca daripada apati politik atau keletihan politik serta kekecewaan sebahagian penyokong yang merasakan tiada alasan untuk mereka keluar mengundi.

“Ini adalah cabaran kepada kita untuk membangkitkan semula semangat kepada mereka, memberikan alasan kepada mereka bahawa kita masih adalah pilihan yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Pada PRN Melaka ke-16 semalam, BN berjaya menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi, menjadikan keseluruhan 24 kerusi dikuasai gabungan BN-PN.

Pakatan Harapan pula memenangi empat kerusi iaitu DUN Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved