
PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) memberi jaminan kemelut rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bagi membincangkan perkara itu.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, perbincangan secara muafakat menjadi pendekatan BN dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul antara parti komponennya.
“Ya, kita boleh selesai sebelum penamaan calon. Dan saya ingin sebutkan bahawa perkara itu dapat kita tangani dengan baik. Alhamdulillah kami dapat duduk bersama-sama dan kita akan mencapai penyelesaian yang sebaik-baiknya demi BN dan kita tidak akan berpecah dalam soal pertandingan untuk Pilihanraya Negeri Melaka ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan MCA sebelum ini yang dilapor tidak akan mengiktiraf mana-mana calon BN bagi PRN Melaka.
Zambry berkata, BN mempunyai pendekatan tersendiri dalam menangani perbezaan pandangan, termasuk melalui perbincangan secara tertutup dan bukannya pertelingkahan secara terbuka.
Terdahulu, Ka Siong dilaporkan berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, selain mendakwa kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu diberikan kepada parti lain.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan berhubung kedudukan dua penyandang MCA yang diumumkan BN sebagai calon pada malam Sabtu lalu iaitu Datuk Ngwe Hee Sem bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di Klebang.
Pada PRN Melaka 2021, MCA bertanding di tujuh kerusi DUN, iaitu Bemban, Machap Jaya, Klebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Namun, parti itu hanya memenangi dua kerusi, masing-masing di Machap Jaya dan Klebang. – KOSMO! ONLINE
The post PRN Melaka: Kemelut isu kerusi MCA selesai sebelum penamaan calon appeared first on Kosmo Online.






