PRN Melaka: Pembangunan Bandar Baharu Klebang antara manifesto Lim Ban Hong

LocalPolitics
3 Nov 2026 • 4:48 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: PRN Melaka: Pembangunan Bandar Baharu Klebang antara manifesto Lim Ban Hong

Calon Barisan Nasional DUN Kelebang Datuk Lim Ban Hong menawarkan 15 fokus manifesto merangkumi pembangunan Bandar Baharu Klebang dan projek tebatan banjir bagi menarik pengundi pada PRN Melaka ke-16.

MELAKA: Pembangunan Bandar Baharu Klebang untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan berimpak tinggi antara 15 fokus manifesto calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang Datuk Lim Ban Hong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Penyandang kerusi itu berkata cadangan pembangunan tersebut berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kawasan khususnya dengan kedudukan DUN itu dalam Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka, selain merupakan pusat pelancongan, pertanian dan industri.

Pengerusi MCA Melaka itu berkata cadangan pembangunan tersebut diharap dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi, sekali gus mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Cadangan itu adalah teras kedua (manifesto) yang memberi fokus kepada ekonomi dan peluang untuk rakyat Kelebang, dan ia merupakan kesinambungan usaha pembangunan yang telah saya laksanakan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai wakil rakyat DUN Kelebang selama dua penggal,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan DUN Kelebang, di sini hari ini.

Beliau turut bercadang membangunkan Klebang Walk Fasa Dua bagi menyokong sektor pelancongan di kawasan itu, khususnya di Pantai Klebang yang menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar Melaka, selain menjadi pusat penjaja yang membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Lim berkata cadangan pembangunan Klebang Walk Fasa Dua merangkumi penyediaan laluan pejalan kaki dan berbasikal serta penambahbaikan pencahayaan dan identiti kawasan pantai bagi menjadikannya destinasi pelancongan, rekreasi dan riadah keluarga.

Mengulas mengenai manifesto PRN ke-16 secara keseluruhannya, beliau berkata tiga teras utama yang ditawarkan kepada pengundi DUN itu ialah infrastruktur dan pembangunan; ekonomi dan peluang; serta kesejahteraan dan masa depan komuniti, melibatkan 15 fokus.

Antara fokus diberikan termasuk peningkatan keselamatan lalu lintas dan penyuraian trafik, mempercepat pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), mengatasi masalah tekanan air rendah serta memantau pelaksanaan sistem pengairan Bukit Rambai.

Penambahbaikan kemudahan Jeti Nelayan Klebang Besar dan Jeti Nelayan Sungai Lereh, penyediaan perumahan mampu milik, penambahbaikan kemudahan kesihatan, pembangunan sukan dan komuniti, pendidikan serta pembangunan belia turut diberi perhatian dalam manifesto itu.

Dalam pada itu, Lim berkata sepanjang dua penggal berkhidmat di DUN itu, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan, antaranya lima projek bernilai kira-kira RM1.3 juta termasuk RTB, penstabilan tebing Sungai Seberang Gajah dan pembinaan ban di Sungai Ayer Salak.

Pada PRN Melaka ke-16, Lim bakal berdepan saingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Farzana Hayani Mohd Nasir, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) dan Young Jie Yu (Bersama).

SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved