
MELAKA: MCA yakin lebih 3,000 undi yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 mampu dipindahkan kepada Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong yang juga penyandang kerusi itu berkata, melalui kerjasama dan persefahaman yang dimeterai untuk PRN kali ini, kedua-dua gabungan berkongsi visi serta misi untuk memastikan kestabilan Melaka.
Katanya, Klebang berpotensi untuk dimenangi dengan majoriti lebih besar berbanding hanya 876 undi pada 2021.
“Saya fikir dengan gabungan tenaga ini, kita akan sama-sama menabur bakti, menabur usaha kita untuk kestabilan kemakmuran dan juga kecemerlangan negeri Melaka.
“Saya fikir itu satu visi dan misi kita bersama. BN selama ini menekankan kita nak membawa kestabilan, kita nak bawa kemakmuran dan kita nak tambah baik negeri Melaka yang kita sayang ini termasuk DUN Klebang.
“Maka saya fikir parti-parti politik ataupun rakan-rakan strategik yang bersetuju dengan visi dan misi kita yang ingin menabur usaha, masa, tenaga kita akan bersama untuk membantu,” katanya kepada Utusan Malaysia.-UTUSAN.
The post MCA yakin undi PN tambah majoriti di Klebang appeared first on Utusan Malaysia.






