PRN Melaka: PH gariskan tiga teras utama Melaka Maju Jaya, 12 aspirasi untuk rakyat

LocalPolitics
3 Nov 2026 • 1:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: PH gariskan tiga teras utama Melaka Maju Jaya, 12 aspirasi untuk rakyat
Adly (dua dari kanan) bersama Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim (kanan) dan Timbalan Pengerusi PH, Khoo Poay Tiong (dua dari kiri) pada pelancaran manifesto PH bertemakan Aspirasi Melaka Rumah Kita pada Selasa.

HANG TUAH JAYA - Pakatan Harapan mengemukakan tiga teras utama Melaka Maju Jaya sebagai tawaran untuk membina pentadbiran yang bersih, telus dan cekap.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, manifesto bertemakan Aspirasi 'Melaka Rumah Kita' itu turut menawarkan peluang ekonomi yang luas kepada belia dan memastikan pembangunan memperbaiki kehidupan rakyat.

"Teras pertama ialah 'Smart' Melaka yang menggerakkan transformasi menjadi negeri pintar untuk meningkatkan kecekapan, keselamatan dan kualiti hidup rakyat.

"Perkhidmatan kerajaan diperkasakan melalui pendigitalan bagi memudahkan urusan rakyat, mempercepatkan sistem penyampaian serta memastikan perkhidmatan lebih telus dan mesra pengguna," katanya ketika melancarkan manifesto aspirasi PH di Bilik Gerakan Utama, di sini pada Selasa.

Menurut Adly, teras kedua ialah membuka lebih banyak peluang kepada anak muda.

"Perkara itu melibatkan memperuntukkan 30 peratus kontrak kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada golongan belia dan beliawanis.

"Ia membuka peluang pekerjaan, perniagaan dan pengalaman kepada generasi muda tempatan," jelasnya.

Tambah beliau, teras ketiga ialah memartabatkan industri pelancongan Melaka.

"Memperbanyakkan peluang dannaktiviti berkaitan pelancongan di samping mengutamakan penyedia perkhidmatan pelancongan agar manfaat ekonomi dapat dinikmati rakyat.

"Selain itu, menyasarkan untuk meningkatkan jumlah kunjungan pelancong kepada 25 juta orang menjelang 2032, sekaligus menjadikan Melaka destinasi pelancongan berdaya saing dan bertaraf antarabangsa," katanya.

Selain itu, Adly berkata, PH turut menggariskan 12 aspirasi bagi memenuhi keperluan rakyat menerusi manifesto berkenaan.

Katanya, aspirasi itu merangkumi rumah untuk rakyat, kerajaan mesra rakyat senang, pekerjaan berkualiti, masa depan anak muda terjamin; wanita berdaya maju, usahawan maju dan kebajikan rakyat keutamaan kerajaan.

Tambah beliau, enam lagi aspirasi adalah lalu lintas lebih lancar, selamat dan terhubung; memperkasakan syiar Islam dan institusi agama, kerajaan bersih, telus dan berintegriti; tanah terbiar, rezeki rakyat; tanah rakyat, hak rakyat dan perpaduan, keharmonian dan Melaka untuk semua.

"Kesemua aspirasi ini mengambil kira pandangan serta maklum balas rakyat dan peniaga selain pengalaman PH ketika berkhidmat di peringkat negeri serta Persekutuan.

"Pelancaran manifesto ini memberi peluang kepada rakyat untuk meneliti tawaran berkenaan di samping kita memfokuskan memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat," tambahnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved