PRN Melaka: PKR gagal menang kerusi, tamparan buat Anwar - Pemuda Pas Kelantan

LocalPolitics
15 Nov 2026 • 9:37 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: PKR gagal menang kerusi, tamparan buat Anwar - Pemuda Pas Kelantan
Kegagalan PKR memenangi kerusi dalam PRN Melaka disifatkan sebagai tamparan buat Anwar.

KOTA BHARU - Kegagalan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memenangi walau satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai tamparan buat pemimpin nombor satu negara itu.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, keputusan itu memperlihatkan kedudukan seseorang sebagai Perdana Menteri tidak semestinya menjamin sokongan rakyat terhadap parti yang dipimpinnya.

Menurut beliau, daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, Barisan Nasional (BN) memperoleh 21 kerusi, Pakatan Harapan (PH) empat kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.

"Lebih menarik, kesemua empat kerusi PH dimenangi DAP, manakala PKR yang presidennya merupakan Perdana Menteri gagal memenangi satu kerusi pun.

"Amanah juga gagal memperoleh sebarang kerusi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau memberitahu, keputusan itu perlu menjadi peringatan kepada Anwar bahawa kedudukan di Putrajaya tidak semestinya mencerminkan tahap kepercayaan rakyat ketika berada di peti undi.

Menurutnya, keadaan itu juga mencetuskan persoalan mengenai janji reformasi yang sebelum ini menjadi antara tonggak perjuangan Anwar, khususnya apabila rakyat masih berdepan isu kos sara hidup, ekonomi dan pelbagai janji yang belum tertunai.

"Anwar dahulu begitu lantang mengkritik kerajaan terdahulu, menjanjikan perubahan, membela rakyat dan menentang pelbagai perkara yang dianggap tidak wajar.

"Namun hari ini, apabila berada di kerusi kuasa, beliau sendiri berdepan persoalan yang pernah dilemparkan kepada kerajaan sebelumnya," katanya.

Mengulas lanjut, keputusan PRN Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan terbaharu Melaka membawa mesej tersendiri mengenai kedudukan PH di mata pengundi.

Beliau menyifatkan PH seolah-olah berdepan hukuman politik yang semakin berat susulan keputusan pilihan raya di negeri-negeri berkenaan.

Tambahnya, rakyat tidak lagi mahu mendengar pelbagai alasan sebaliknya mahu melihat hasil daripada janji dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved