PRN Melaka: PKR sah bertanding 10 kerusi

LocalPolitics
31 Oct 2026 • 2:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: PKR sah bertanding 10 kerusi
Fuziah (dua dari kanan) turut turun padang meninjau proses penamaan calon sempena PRN Melaka kali ini.

MELAKA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan penyertaan 10 calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 selepas semua pencalonan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, jumlah itu merangkumi sembilan kerusi yang diumumkan sebelum ini serta penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau yang ditandingi Mejar (B) Jaimi Dimon.

"Penambahan berkenaan menjadikan PKR bertanding di 10 daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan mempertaruhkan 24 calon termasuk tujuh calon masing-masing daripada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Melaka: Proses penamaan calon bermula hari ini

PRN Melaka: Tiga calon rebut kerusi Paya Rumput

Antara calon PKR yang diketengahkan ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin yang bertanding di DUN Paya Rumput; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd Nasir di Klebang dan Ketua Penerangan Wanita PKR Pusat, Datuk Ginie Lim Siew Lin di Machap Jaya.

Calon lain ialah Mohd Yunazri Mustamiri di Tanjung Bidara; Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (Rembia), P. Denesh (Asahan), Muhammad Hakimin Mokhtar (Ayer Molek), Esma Eazreen Husin (Rim), Muhammad Faiq Azman (Serkam) dan Mej (B) Jaini Dimon di Ayer Limau.

"Dalam PRN Melaka kali ini, PKR menampilkan tujuh muka baharu daripada keseluruhan 10 calon, selain memberi ruang kepada calon muda dan wanita untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan negeri," jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka ke-16.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved