79 calon berentap pada PRN Melaka – Pengerusi SPR

LocalPolitics
31 Oct 2026 • 2:52 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 79 calon berentap pada PRN Melaka – Pengerusi SPR

MELAKA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan seramai 79 calon mewakili pelbagai parti dan gabungan politik serta calon bebas layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di 24 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN)(23), Parti Bersama Malaysia (Bersama)(16) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)(tujuh).

Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) pula bertanding di lima kerusi, Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra) satu kerusi, manakala tiga individu bertanding sebagai calon bebas.

“Bagi bilangan pertandingan mengikut penjuru, pertandingan satu lawan satu melibatkan 11 kerusi, tiga penjuru 11 kerusi dan empat penjuru enam kerusi.

“Bilangan calon yang bertanding mengikut jantina pula membabitkan 65 calon lelaki dan 14 calon wanita,” katanya pada sidang akhbar di Menara Persekutuan Ayer Keroh di sini hari ini.

Ramlan berkata, calon tertua ialah wakil PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas iaitu Mohamad Jaafar, 66, manakala calon termuda juga daripada PH, Muhammad Mukhlisul Mubin Julaisapiyah, 24, di kerusi DUN Kuala Linggi.

Katanya, sebanyak dua calon berusia 18 hingga 29 tahun, 14 calon (30-39 tahun), 33 calon (40-49 tahun), 22 calon (50-59 tahun) dan lapan calon berusia 60 tahun ke atas.

Beliau berkata, tempoh berkempen adalah sehingga 11.59 malam, 13 November ini.

“SPR menubuhkan 28 Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya untuk memantau semua aktiviti calon yang bertanding sepanjang tempoh berkempen.

“SPR juga berharap dan mengingatkan agar aktiviti berkempen yang dibenarkan berjalan dalam suasana penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan ditetapkan,” katanya.– BERNAMA

The post 79 calon berentap pada PRN Melaka – Pengerusi SPR appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved