PRN Melaka: Rundingan Kerjasama Dengan BN Ditangguh Minggu Depan

LocalPolitics
1 Oct 2026 • 12:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Melaka: Rundingan Kerjasama Dengan BN Ditangguh Minggu Depan

MELAKA - Rundingan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) Melaka dengan beberapa parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditangguhkan ke minggu depan.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penangguhan itu dibuat bagi mendapatkan tarikh yang lebih sesuai, sambil memberi jaminan bahawa perkara berkenaan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurutnya, hasil rundingan tersebut akan dibawa melalui saluran dalaman parti sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO.

“Rundingan ini bukan dibatalkan, sebaliknya ditangguhkan ke tarikh yang lebih sesuai. Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga sudah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa jemputan akan diberikan kepada mana-mana parti yang bersedia berunding dengan BN Melaka.

“Insya-Allah, perkara ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Melaka di Seri Bendahara.

Penangguhan itu susulan kenyataan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Sabtu lalu yang mengesahkan, ibu pejabat BN telah menetapkan dua pertemuan berasingan dengan kumpulan politik berbeza minggu ini bagi membincangkan kerjasama pilihan raya untuk PRN berkenaan.

Mengulas kriteria yang akan dipertimbangkan dalam menentukan rakan kerjasama berpotensi, Ab Rauf berkata penilaian akan dibuat berdasarkan sejauh mana sesuatu gabungan itu mampu membawa manfaat atau sebaliknya kepada parti.

“Jadi, saya tidak memihak kepada mana-mana gabungan tertentu untuk menjadi rakan strategik, tetapi akhirnya ia bergantung kepada penilaian dan penelitian yang mendalam.

“Oleh itu, keputusan akan dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.

Mengenai pendirian Parti Amanah Negara (Amanah) menolak sebarang tawaran kerjasama daripada BN bagi menghadapi PRN Melaka, Ab Rauf berkata setiap parti mempunyai hak demokratik masing-masing.

“Itu hak setiap parti. Namun, kita kekal terbuka bagi meraikan demokrasi di pentas demokrasi Malaysia seperti yang dijanjikan.

“Mana-mana pihak berhak untuk menyertai atau tidak menyertai. Jika kita jemput dan mereka tidak mahu datang, tidak mengapa. Jika mereka menerima jemputan, kita berunding,” katanya.

Beliau berkata kenyataan awal yang dibuat oleh pemimpin mana-mana parti dalam sesebuah gabungan tidak boleh dijadikan penanda aras kerana keputusan rasmi perlu diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

“Saya tidak menjadikan perkara itu sebagai penanda aras kerana yang penting ialah keputusan Majlis Presiden PH. Jika Majlis Presiden memutuskan tidak, tidak mengapa.

“Kita tidak mahu dituduh memaksa diri terhadap pihak yang tidak mahukan kita. Namun, saya menerima penjelasan berhubung jemputan yang dibuat oleh Setiausaha Agung itu tanpa sebarang prejudis.

“Kita tunggu selepas jemputan rasmi dibuat untuk melihat sama ada perbincangan boleh diadakan atau keputusan untuk bersama itu boleh diteruskan atau tidak. Ia terpulang kepada mana-mana parti untuk menyertai kita,” katanya. - Getaran, 1 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved