
MELAKA – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee memaklumkan namanya sudah disenaraikan sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Norhizam yang juga Naib Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya berkata, bagaimanapun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandinginya masih belum diketahui setakat ini.
Katanya, beliau bersedia bertanding di mana-mana kerusi sekiranya diberikan peluang untuk mewakili parti.
“Ya, saya nak bertanding tetapi kerusi belum tahu lagi. Ada juga parti lain beri tawaran, tetapi belum confirm (sahkan) lagi.
“Saya tidak kisah bertanding di kerusi mana, yang penting dapat bertanding dan nama ada dalam senarai. Kalau kerja bagus, orang kata dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi bukit,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Menurut Norhizam, keputusan mengenai kerusi yang bakal ditandinginya perlu mengambil kira beberapa perkara termasuk kemungkinan berlaku pertindihan kerusi antara parti.
“Saya masih mahu berkhidmat di Pengkalan Batu tetapi banyak aspek perlu diteliti, termasuk faktor pertindihan kerusi. Orang Pengkalan Batu perlukan saya. Kalau sudah confirm bertanding, saya akan panggil media untuk maklumkan,” katanya.
Terdahulu, nama Norhizam tular selepas dikaitkan sebagai antara calon yang bakal bertanding pada PRN Melaka yang dibubarkan secara rasmi pada 23 September lalu.
Norhizam sebelum ini merupakan wakil rakyat Pengkalan Batu atas tiket DAP sebelum bertanding sebagai calon Bebas pada PRN Melaka lalu.
Pada PRN berkenaan, beliau menyertai saingan lima penjuru bersama calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.
Kerusi Pengkalan Batu ketika itu dimenangi calon BN, Datuk Kalsom Nordin dengan majoriti 131 undi selepas memperoleh 4,839 undi.
Calon PH daripada DAP, Muhamad Danish Zainudin mendapat 4,708 undi, diikuti calon PN, Mohd Azrudin Md. Idris (2,681 undi), Norhizam (1,218 undi) dan calon Putra, Mohd.Aluwi Sari (82 undi). – KOSMO! ONLINE
The post PRN Melaka: YB kontroversi, Norhizam bakal buat kemunculan semula appeared first on Kosmo Online.






