
REMBAU – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Suhaimi Aini bertekad meneruskan pelbagai agenda pembangunan yang tertangguh selepas tempoh pentadbiran sebelum ini hanya berlangsung selama dua tahun lapan bulan.
Menurut beliau, masih banyak perkara yang perlu diselesaikan demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh masyarakat di DUN Kota.
“Tempoh mandat yang lalu hanya dua tahun lapan bulan. Banyak lagi perkara yang belum selesai dan saya akan teruskan agenda yang tergendala itu demi kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita, sempena Program Ngoca Sawah di Kampung Semerbok, di sini, semalam.
Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ahli Parlimen Alor Setar yang juga Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Dalam pada itu, Suhaimi berkat, semangat BN sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan dengan mengamalkan kepimpinan yang dekat dengan masyarakat.
“Jiwa Barisan Nasional ialah sentiasa bersama masyarakat, hadir mendengar, memahami dan berusaha menyelesaikan setiap permasalahan rakyat. Inilah kepimpinan yang didambakan masyarakat,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Suhaimi berkata, sambutan luar biasa penduduk terhadap Program Ngoca Sawah membuktikan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di kawasan berkenaan terus kukuh.- KOSMO! ONLINE
The post PRN N. Sembilan: BN Kota tekad sambung agenda tertangguh demi rakyat appeared first on Kosmo Digital.






