PRN Negeri Sembilan: Manifesto BN sokong pertumbuhan ekonomi rakyat

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 5:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: Manifesto BN sokong pertumbuhan ekonomi rakyat
Manifesto BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini menawarkan agenda pembangunan seimbang. Gambar kecil: Lawrence

SHAH ALAM - Manifesto Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini menawarkan agenda pembangunan seimbang dengan menggabungkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, ia juga mencerminkan komitmen BN terhadap tadbir urus yang bertanggungjawab menerusi dasar-dasar yang membawa kebaikan kepada rakyat.

Katanya, pelan tindakan yang digariskan memberi keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi sambil melindungi kehidupan rakyat selaras dengan situasi ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos sara hidup.

“Rakyat Negeri Sembilan memerlukan sebuah kerajaan yang memiliki pelan jelas untuk mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan dan memperkukuhkan pendapatan isi rumah.

“Pada masa sama, ia menggalakkan pembangunan yang lebih seimbang di seluruh negeri berbanding menumpukan pertumbuhan hanya di kawasan tertentu,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau menegaskan, rangsangan pelaburan di setiap daerah negeri itu berpotensi mengembangkan perniagaan tempatan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Turut diberi perhatian adalah peluang pekerjaan menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seiring dengan perkembangan teknologi pada masa ini dan pembangunan berterusan Malaysian Valley Vision (MVV).

Antara inisiatif ditawarkan, membawa pelaburan bernilai RM30 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan yang digabungkan dengan pembangunan bererusan Malaysian Vision Valley (MVV) dan mencipta 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dan melahirkan 20,000 graduan dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Lawrence berkata, inisiatif berkenaan berpotensi menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, mengekalkan bakat tempatan dan menangani cabaran penghijrahan tenaga mahir yang telah lama membelenggu negara.

Justeru, beliau berpandangan, manifesto yang dikemukakan BN adalah praktikal yang mampu memacu pertumbuhan mampan serta meningkatkan daya saing negeri dalam jangka masa panjang.

Manifesto bertemakan Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Jumaat lalu menggariskan 88 usaha di bawah sembilan teras dan memperkenalkan 15 inisiatif menerusi Skim Salam Sejahtera serta mencadangkan penubuhan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved