PRN Negeri Sembilan: 22,339 anggota keselamatan, pasangan mengundi awal esok

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 10:08 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: 22,339 anggota keselamatan, pasangan mengundi awal esok
Seramai 22,339 anggota keselamatan dan pasangan akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada PRN Negeri Sembilan ke-16 esok. - Gambar hiasan

SEREMBAN - Seramai 22,339 anggota keselamatan dan pasangan akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 esok.

Jumlah itu membabitkan 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.

Proses pengundian akan berlangsung di 38 pusat mengundi awal di seluruh negeri yang dibuka serentak pada 8 pagi, manakala waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat mengikut lokasi.

Antara lokasi pengundian awal ialah Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Pangkalan Udara Sendayan di Seremban serta Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai.

Pengundian awal bagi anggota keselamatan dan pasangan yang layak diadakan empat hari sebelum hari pengundian pada 1 Ogos.

Sementara itu, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kebanyakan kawasan di Negeri Sembilan dijangka cerah pada sebelah pagi, kecuali Port Dickson yang diramal mengalami hujan lebat dan ribut petir.

Hampir seluruh negeri pula dijangka dilanda hujan lebat pada sebelah petang.

Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN kali ini yang menyaksikan seramai 103 calon layak bertanding.

Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) merekodkan jumlah calon tertinggi dengan 36 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (25) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24).

Perikatan Nasional (PN) pula menampilkan 11 calon, diikuti empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun bagi memberi laluan kepada PRN, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved