PRN Negeri Sembilan: 401 pusat undi ditutup jam 6 petang

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 6:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: 401 pusat undi ditutup jam 6 petang
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun (berdiri, kanan) meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Paroi Jaya, Seremban sempena PRN Negeri Sembilan Ke-16, hari ini. Foto: Bernama

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 berakhir secara rasmi selepas kesemua 401 pusat mengundi di seluruh negeri ditutup tepat jam 6 petang hari ini.

Setakat jam 4 petang, sebanyak 65.38 peratus atau lebih 562,133 orang daripada keseluruhan 859,760 pemilih biasa telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN kali ini mampu mencecah hingga 72 hingga 75 peratus, dengan keputusan awal dijangka diperoleh seawal 10 malam ini.

Sementara itu, pengiraan kertas undi awal dan biasa yang dikeluarkan kepada individu yang layak mengundi juga telah bermula petang ini.

Proses pengiraan yang bermula pada jam 6 petang itu dilaksanakan oleh pegawai SPR, dengan disaksikan wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding, di lapan pusat penjumlahan rasmi undi di seluruh negeri.

Kini, tumpuan seluruh negara pastinya terarah kepada keputusan 103 calon bertanding yang berjaya mendapat mandat rakyat.

Dalam pada itu, bagi memastikan ketelusan proses demokrasi, pembukaan sampul undi pos telah bermula dan disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook rasmi SPR.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, dengan Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved