PRN Negeri Sembilan: ASLI umum bertanding DUN Jeram Padang, PSM di Rahang

LocalPolitics
16 Jul 2026 • 4:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: ASLI umum bertanding DUN Jeram Padang, PSM di Rahang
Rashid (dua dari kiri) menyerahkan watikah pencalonan kepada Dayana.

SEREMBAN - Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini dengan mempertaruhkan seorang calon wanita di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden ASLI, Rashid Ka dalam satu majlis diadakan bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia(MUDA) di sini pada Khamis.

Menurut beliau, penyertaan tersebut merupakan kali kedua parti itu bertanding dalam pilihan raya selepas pertama kali mencuba nasib pada PRN Johor baru-baru ini.

"Calon yang dipilih merupakan seorang ibu yang juga suri rumah dari Kampung Orang Asli Jeram Padang.

"Kita memilih calon wanita kerana dia berani tampil ke hadapan untuk menyahut cabaran parti bertanding pilihan raya di Negeri Sembilan," katanya.

Jelas beliau, matlamat utama ASLI bertanding adalah bagi memastikan suara masyarakat Orang Asli dapat diwakili di peringkat negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersama tidak sertai PRN Negeri Sembilan, beri tumpuan kepada Melaka

Sokongan Melayu merosot di Johor, PH rombak strategi hadapi PRN Negeri Sembilan - Amirudin

'Formula Johor' boleh jadi resipi BN

Tambahnya, sekiranya calon daripada parti terbabit diberi mandat, mereka bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengurus tadbir.

"Kita merasakan terpanggil memandangkan rata-rata masyarakat Orang Asli berdepan isu tanah adat yang dirampas dan diceroboh dari semasa ke semasa.

"Sekiranya calon parti kami menang, saya yakin beliau mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di Jeram Padang serta seluruh masyarakat pelbagai kaum secara adil dan saksama," katanya.

Sementara itu, Dayana Dal, 40, yang merupakan Suku Semelai berkata, tujuannya bertanding adalah untuk menempatkan diri dalam DUN kerana secara tidak langsung boleh membuka mata masyarakat luar terhadap Orang Asli.

"Saya juga mahu membawa suara-suara masyarakat Orang Asli ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, PSM mengumumkan akan bertanding di DUN Rahang dengan menampilkan setiausaha parti itu di Negeri Sembilan sebagai calon.

S Tinagaran yang berusia 49 tahun dan merupakan seorang guru tuisyen pernah bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada tahun 2023, namun tewas dengan Timbalan Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang menang dengan majoriti 19,897 undi.

Dalam pertembungan empat penjuru itu, beliau hanya memperoleh 779 undi.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved