PRN Negeri Sembilan jadi model, Pas buka ruang rundingan kerjasama dengan UMNO di Pahang 

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 1:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

pas

TEMERLOH: Pas membuka ruang rundingan dengan UMNO bagi membentuk kerjasama politik di Pahang pada pilihan raya umum akan datang, dengan model kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan antara contoh yang boleh dipertimbangkan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini yang menyatakan kesediaan mengadakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk Pas dan Perikatan Nasional (PN). 

Katanya, perkara itu boleh dibincangkan dalam kerangka lebih besar membabitkan penyatuan ummah dan tidak seharusnya dilihat semata-mata kerjasama antara parti politik.

“Saya melihat kenyataan beliau atas hasrat penyatuan ummah. Penyatuan ummah ini perlu kita lihat dalam kerangka lebih besar daripada hanya parti dan dalaman parti.

“Insya-Allah, kita mungkin boleh adakan perbincangan dan rundingan bagaimana untuk memperkukuh penyatuan ummah ini dalam konteks parti-parti politik,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Mujahid Siber Pas peringkat nasional di Kompleks Al-Makmur, Kerdau di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, model kerjasama politik pada PRN Negeri Sembilan boleh menjadi contoh apabila keputusan pilihan raya tidak membolehkan sesebuah parti membentuk kerajaan secara bersendirian, namun pendekatan itu tidak semestinya boleh digunakan terus di semua negeri.

“Model itu sangat berbeza-beza setiap negeri tetapi kita boleh lihat apa yang berlaku di Negeri Sembilan sebagai satu model yang baik. Kita harapkan di Melaka pun akan mengikut model yang sama,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kedudukan semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, PN dan Barisan Nasional (BN) masing-masing mempunyai 17 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) lapan kerusi, sekali gus membuka ruang kepada gabungan parti membentuk pentadbiran dengan majoriti lebih kukuh.

“Kalau kita lihat atas kertas, dengan gabungan dua parti pun kita boleh mendapat majoriti dua pertiga dan boleh bergerak ke hadapan dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, sebarang rundingan perlu dilakukan atas prinsip keikhlasan dan kesamarataan bagi memastikan kerjasama yang dicapai memberikan manfaat kepada semua pihak tanpa konsep parti lebih besar mendominasi parti lain.

“Jangan kita anggap kita ada abang besar atau adik kecil. Kita anggap semua setara dan dalam perundingan itu kita mesti mencari penyelesaian menang-menang. Jangan ada pihak yang mengambil untung dan pihak lain pula rugi,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, rundingan berkaitan Pahang bagaimanapun belum dimulakan secara rasmi kerana tumpuan parti ketika ini lebih menjurus kepada persiapan menghadapi PRN Melaka dan perkembangan politik di Sarawak.

“Pahang mungkin masih lambat lagi tetapi kalau kita boleh berpakat, insya-Allah kita boleh membentuk pentadbiran yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata, Pas turut melihat potensi kerjasama dengan UMNO di beberapa kawasan termasuk Raub dan Bentong berdasarkan kedudukan pengundi serta keputusan pilihan raya sebelum ini, malah banyak kerusi DUN dan Parlimen berpotensi dimenangi jika kerjasama dilaksanakan dengan baik.

“Kalau kita gabung betul-betul, banyak tempat yang kita boleh ambil. Yang penting adalah kerjasama,” katanya. – UTUSAN

The post PRN Negeri Sembilan jadi model, Pas buka ruang rundingan kerjasama dengan UMNO di Pahang  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved