
TAPAH: MIC memberikan tumpuan untuk bertanding di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan calon yang dipilih akan dinilai dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ketika ini tumpuan juga diberikan bagi mengenal pasti isu-isu yang akan ditangani dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, sudah mula gerak kerja untuk mengenal pasti. Kami lebih fokus kepada mengenal pasti pengundi khususnya pengundi ‘putih’ dan isu-isu yang sedang atau perlu ditangani dalam masa terdekat.
“Setakat ini, kalau ikut sejarah, selama ini hanya satu kerusi di negeri Melaka dan kita telah kekalkan posisi tersebut sejak merdeka,” katanya di Dewan Gandhi di sini hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tapah itu menyampaikan sumbangan komputer riba kepada 49 penerima pada Majlis Sumbangan Komputer Riba Parlimen Tapah 2026.
Semasa PRN Melaka pada 2021, MIC memenangi kerusi DUN Gadek menerusi calonnya, VP Shanmugam dalam pertembungan enam penjuru dengan majoriti diperoleh adalah sebanyak 559 undi.
Berhubung kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN), Saravanan berkata, sebarang kenyataan hanya boleh dikeluarkan oleh Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran.
“Ini satu isu yang cukup sensitif. Kita belum ada sebarang keputusan. Setakat ini MIC buat keputusan, segala isu berkaitan jajaran, hanya Presiden akan memberi ulasan.
“Kita dalam satu keadaan yang cukup tidak jelas lagi maka MIC buat keputusan segala isu berkaitan parti-parti komponen dan jajaran semua, hanya Presiden akan menjawab,” katanya. – UTUSAN
The post PRN Melaka: MIC tumpu bertanding satu kerusi appeared first on Utusan Malaysia.






