‘PRN Negeri Sembilan jadi penentu hala tuju kerjasama BN-PN’ - Bastien

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 8:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘PRN Negeri Sembilan jadi penentu hala tuju kerjasama BN-PN’ - Bastien
Bastien (tengah) berinteraksi dengan penduduk pada program walkabout di Taman Anggerik, Pajam pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal menjadi penentu awal kepada keberkesanan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum gabungan itu berdepan pilihan raya lain termasuk di Melaka serta Pilihan Raya Umum (PRU).

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn berkata, masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap kerjasama berkenaan kerana ia perlu melalui pelbagai ujian politik sebelum dapat dibuktikan benar-benar berjaya.

Menurutnya, kerjasama itu bukan sesuatu yang asing memandangkan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah bergabung di bawah Muafakat Nasional serta membentuk kerajaan sebelum membawa haluan masing-masing.

“BN, Pas dan Bersatu pernah bersama membentuk kerajaan suatu ketika dahulu. Kali ini di Negeri Sembilan, sekali lagi terbentuk kesepakatan melibatkan BN, Pas dan Parti Wawasan yang merupakan serpihan Bersatu.

“Saya percaya kepimpinan tertinggi parti mendengar kehendak serta aspirasi pengundi Melayu yang mahu kita kembali bersatu dan tidak lagi berpecah-belah,” katanya ketika ditemui selepas program walkabout di Taman Anggerik, Pajam pada Rabu.

Pada PRN Negeri Sembilan, BN bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN yang diwakili Pas dan Parti Wawasan bertanding di 11 kerusi.

Mengulas lanjut, Bastien berkata, formula kerjasama itu akan menjadi penanda aras bagi menentukan hala tuju hubungan politik antara parti-parti berkenaan pada masa depan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) kerana mendengar hasrat orang Melayu yang mahukan penyatuan.

“Apabila orang Melayu kuat dan bersatu, barulah kita berupaya melindungi kepentingan golongan minoriti. Inilah penyatuan Melayu yang telah lama dinantikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin calon MCA, Alan Lai mampu memberi tentangan sengit kepada penyandang kerusi DUN Nilai, J. Arul Kumar daripada DAP yang telah mempertahankan kerusi berkenaan selama tiga penggal.

Beliau turut percaya sokongan pengundi Cina mampu beralih kepada calon MCA berdasarkan perkembangan yang dilihat dalam beberapa pilihan raya sebelum ini di Sabah dan Johor.

“Apa yang kita dengar daripada pengundi ialah masih banyak masalah setempat yang belum berjaya diselesaikan. Kita yakin angin perubahan akan berlaku,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved