
PORT DICKSON – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan laporan pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait Tabung Haji (TH) tidak akan mempengaruhi pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu ini.
Menurutnya, rakyat cukup bijak membuat penilaian sendiri dan tidak mudah dipengaruhi isu yang dibangkitkan ketika musim pilihan raya.
“Di Johor pun ada isu-isu lampau dibangkitkan termasuk pembebasan Datuk Seri Najib. Jadi saya rasa pengundi cukup bijaksana,” katanya selepas Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Cina di Kampung Pachitan, Chuah di sini hari ini.
Asyraf berkata, UMNO menyambut baik pendedahan RCI berkait Tabung Haji dan mahu ia dibahaskan di Parlimen.
Menurut beliau, ketika menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO enam tahun lalu, beliau antara individu terawal yang menggesa supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat segala dakwaan terhadap Tabung Haji, termasuk proses pemulihan dan penjualan aset selepas itu.
“Yang paling penting jangan ada yang terlepas. Kenapa perlu dibuat hari ini sewaktu PRN? Itu menjadi tanda tanya orang ramai. Apa pun kita menyambut baik ketersediaan untuk mendedahkan supaya semua dapat tahu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Asyraf menegaskan, pengundi Cina dijangka memilih Barisan Nasional Sabtu ini berdasarkan beberapa indikasi positif diterima hasil kempen hampir dua minggu. – KOSMO! ONLINE
The post RCI Tabung Haji: Pengundi Negeri Sembilan bijaksana – Asyraf appeared first on Kosmo Digital.






