PRN Negeri Sembilan: Kempen patut tumpu tawaran bukan serangan peribadi - Anthony

LocalPolitics
19 Jul 2026 • 11:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: Kempen patut tumpu tawaran bukan serangan peribadi - Anthony
Anthony ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pakatan Harapan sempena kempen PRN Negeri Sembilan. Foto Bernama

SEREMBAN - Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke berkata, kempen pilihan raya seharusnya menumpukan kepada soal tawaran dan dasar yang ingin dibawa kepada rakyat, bukannya menjadikan serangan peribadi sebagai bahan kempen.

Justeru, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, beliau mengambil pendirian untuk tidak menyerang peribadi mana-mana anggota Kabinet sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 berlangsung.

"Kita perlu berkempen berdasarkan apa yang kita hendak tawarkan dan memperjelas kedudukan kita. Saya mengambil pendirian tidak menyerang mana-mana pemimpin, ungkit apa-apa, khususnya menteri Kabinet kerana mereka ialah rakan dalam Kabinet.

"Kita bertemu setiap minggu dalam mesyuarat Kabinet dan mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bersama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Makan Malam PH sempena PRN Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Menteri Pengangkutan itu berkata, pendirian berkenaan diambil selaras dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang mahu individu memegang jawatan dalam kerajaan supaya menjaga disiplin dan tidak menyerang Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada pilihan raya.

Anthony berkata, pendirian itu turut diterjemahkannya dengan tidak berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang ditandingi Menteri Luar yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi menjaga keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, sebaliknya tumpuan diberikan kepada kawasan ditandinginya iaitu DUN Chennah serta kerusi-kerusi ditandingi calon DAP, selain membantu Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkempen di DUN Linggi.

Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, kedudukannya sebagai Menteri Pengangkutan memberi kelebihan kepada DUN Chennah, sekali gus menepis dakwaan kononnya beliau mengabaikan kawasan susulan kesibukan sebagai Jemaah Menteri. 

Selaku menteri, katanya lebih banyak manfaat mampu disalurkan kepada penduduk Chennah termasuk menerusi peruntukan bagi pelaksanaan projek Kampung Madani. 

"Lebih penting ialah apa yang saya boleh lakukan untuk kawasan. Saya juga mempunyai pasukan sepenuh masa yang sangat berdedikasi untuk menguruskan kawasan dan membantu penduduk," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai ini manakala hari mengundi pada 1 Ogos. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved