
SEREMBAN, 27 JULAI: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kini memasuki fasa pecutan terakhir dengan tempoh berkempen hanya berbaki empat hari lagi.
Kebanyakan calon giat memperhebatkan gerak kerja masing-masing menerusi gabungan kempen konvensional dan media sosial dalam usaha meraih sokongan sebanyak mungkin pengundi di kawasan yang ditandingi.
Selain aktiviti ceramah kelompok, ziarah rumah ke rumah, bersarapan dan tinjauan mesra bersama penduduk, pelbagai pendekatan diambil calon termasuk menyertai program menukar minyak hitam motosikal, ngoca sawah (menangkap ikan di sawah), bermain boling dan bola sepak bagi menambat hati pengundi.
Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dr Azizul Hakim Mahdi menarik perhatian apabila mengetepikan seketika imej formal seorang doktor dengan menunjukkan kemahiran menukar minyak hitam motosikal dalam satu program bersama penduduk.
Menurut beliau, bidang automotif bukan sahaja memerlukan kemahiran, malah mempunyai potensi besar sebagai sumber pendapatan golongan muda yang boleh membina kerjaya menerusi pembukaan bengkel sendiri.
Di media sosial pula, Dr Azizul Hakim tampil dengan slogan, “Kalau sakit, cari doktor. Kalau susah, cari YB tapi kalau sakit dan susah, carilah Dr Hakim,” sebagai antara usahanya mendekati pengundi, khususnya golongan muda.
Pendekatan mesra komuniti itu turut diterjemahkan menerusi penyertaannya dalam program Sepakan Penalti Harapan di Taman Kelab Tuanku apabila beliau mengetepikan seketika kesibukan berkempen untuk bermain bola sepak bersama penduduk sebelum meneruskan kempen menerusi program ziarah rumah ke rumah.
Di DUN Labu, calon HARAPAN Datuk Ahmad Faez Abdul Rahman pula memanfaatkan baki tempoh berkempen dengan menyertai Kejohanan Boling Veteran Bandar Enstek di The Bowlers@MesaMall, Nilai.
Selesai beramah mesra dengan peserta dan mempamerkan kemahiran bermain boling, beliau meneruskan kempen secara bersemuka melalui program tinjauan mesra di Pasar Malam Desa Cempaka sambil mengedarkan risalah manifesto dan menyantuni peniaga di sekitar Kampung Labu bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu yang dihadapi mereka.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Kota Suhaimi Aini pula berkempen dengan menyertai program ngoca sawah di Kampung Semerbok bersama Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Esok, sebanyak 22,339 anggota tentera, polis dan pasangan akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi PRN berkenaan.
Proses pengundian awal akan bermula serentak pada 8 pagi manakala waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat mengikut lokasi dan jumlah pengundi.
Sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini dengan penyertaan 103 calon.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas dan hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.






