
SEREMBAN: Spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) terus menjadi topik hangat dalam kalangan pelbagai pihak terutama pemimpin dan pemerhati politik.
Ia berikutan setakat ini, tiada pengumuman mengenai pembubaran DUN Negeri Sembilan oleh kerajaan negeri khususnya daripada Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun meskipun DUN Johor telah dibubarkan melalui pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Isnin lalu.
Walaupun desas-desus berkaitan perkara pembubaran itu dikatakan bakal menjadi kenyataan apabila Aminuddin menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebanyak dua kali di Istana Hinggap Seremban, semalam, namun tiada pengumuman pembubaran DUN dibuat.
Malah, Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan dilaporkan telah membatalkan sidang media pada saat akhir selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang selesai sekitar jam 12.30 tengah hari, semalam.
Berikutan itu, spekulasi mengenai pembubaran DUN dan PRN Ke-16 Negeri Sembilan terus menjadi persoalan di kalangan rakyat negeri yang mengamalkan Adat Perpatih itu kerana sehingga saat ini tiada sebarang pengumuman mengenainya dibuat oleh Aminuddin.
Sebelum ini, ucapan Setiausaha Agung DAP yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke di Konvensyen Pakatan Harapan di Johor pada 17 Mei lalu, ada memaklumkan bahawa Negeri Sembilan akan mengikut langkah Johor sekiranya negeri itu membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN.
Malah, Loke yang juga Menteri Pengangkutan sendiri menyatakan pandangannya bahawa membubarkan DUN Negeri Sembilan adalah langkah terbaik dalam menyelesaikan krisis politik yang berlaku di negeri itu susulan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Umno/Barisan Nasional yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut menyatakan pandangan sama ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan pembubaran DUN Negeri Sembilan dapat mengembalikan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang terbaik untuk mentadbir negeri ini.
Sebelum ini, pemimpin Pakatan Harapan Negeri Sembilan dilaporkan telah mengadakan mesyuarat tergempar di Kediaman Rasmi Menteri Besar bagi membincangkan berkaitan persiapan menghadapi PRN.
Mesyuarat yang dipengerusikan Aminuddin itu dihadiri hampir semua pimpinan PH negeri itu.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin memaklumkan bahawa mesyuarat berkenaan membincangkan kesiapsiagaan jentera pilihanraya PH untuk PRN negeri yang akan datang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah, bagaimanapun tidak memperincikan perkara yang dibincangkan namun menjelaskan ia dijalankan dalam suasana dengan penuh harmoni.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai daripada DAP, J. Arul Kumar menegaskan bahawa perkara berkaitan pilihan raya terletak kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menentukannya.
“Baginda yang tentukan. Setakat ini tiada lagi maklumat berkaitan pembubaran DUN dan PRN atau sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu Adun Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, beliau tidak mendapat sebarang maklumat jelas berkenaan pembubaran DUN Negeri Sembilan.
“Saya hanya mendengar khabar angin ada pembubaran. Tapi sejauh mana itu saya tak pastilah,” katanya ringkas.
Jelas, pembubaran DUN Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada PRN tidak semudah dilakukan seperti mana di negeri lain susulan krisis adat yang berlaku di negeri ini.
Pada 27 April lalu, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengumumkan bahawa kesemua 14 Adun parti itu sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan Undang Yang Empat mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta, pada 19 Apri lalu. Krisis ini berlaku apabila Undang menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungai Ujong pula didakwa sudah dipecat.



