PRN Negeri Sembilan: Peratusan Keluar Mengundi Cecah 59.03 Setakat 3 Petang - SPR 

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 5:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Negeri Sembilan: Peratusan Keluar Mengundi Cecah 59.03 Setakat 3 Petang - SPR 

SEREMBAN - Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 meningkat kepada 59.03 peratus setakat jam 3 petang hari ini, apabila lebih setengah juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka di pusat-pusat mengundi di seluruh negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, 507,536 daripada 859,760 pengundi berdaftar telah membuang undi sehingga tempoh berkenaan.

Daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, DUN Kota merekodkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 65.5 peratus, diikuti Seri Menanti (64.6 peratus) dan Chennah (64.5 peratus).

Sementara itu, DUN Lukut mencatatkan peratusan keluar mengundi paling rendah setakat jam 3 petang, iaitu 52.9 peratus.

Peratusan tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama untuk PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023, apabila kadar keluar mengundi direkodkan sebanyak 56.05 peratus, melibatkan 469,789 daripada 838,200 pengundi berdaftar.

Peningkatan penyertaan pengundi itu dilihat sebagai faktor penting yang dijangka mempengaruhi keputusan di kesemua 36 kerusi DUN, ketika parti-parti bertanding menantikan mandat akhir daripada rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, tempoh berkempen berakhir dengan 92 laporan polis diterima, manakala 24 kertas siasatan dibuka berhubung pelbagai kesalahan yang didakwa berlaku sepanjang kempen.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata kebanyakan laporan membabitkan kesalahan kecil yang dikaitkan dengan penyokong atau ahli parti, termasuk perbuatan vandalisme terhadap bahan kempen seperti sepanduk, bendera dan poster.

Beliau berkata, polis turut menyiasat empat laporan berkaitan dakwaan cubaan menawarkan wang kepada pengundi.

“Kesalahan yang dilaporkan kebanyakannya melibatkan kesalahan kecil seperti vandalisme terhadap sepanduk, bendera dan poster milik parti yang bertanding.

“Setakat ini, tiada laporan polis membabitkan calon secara langsung dan secara keseluruhannya proses PRN di kesemua 36 kawasan DUN berjalan dengan baik, lancar serta selamat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata, siasatan dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, beliau berkata pegawai polis telah dihantar ke Kedah bagi merakam keterangan beliau sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Bagi memastikan keselamatan awam sepanjang hari pengundian dan selepas keputusan diumumkan, seramai 5,500 pegawai dan anggota polis ditempatkan di seluruh Negeri Sembilan.

Menurut beliau, sebanyak 26 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi menjadi tumpuan dan dipantau rapi, selain dua pasukan khas yang dilengkapi kamera badan ditempatkan di setiap kawasan DUN bagi memantau sebarang perkembangan.

Beliau turut menyeru semua parti politik dan penyokong supaya terus berdisiplin, mematuhi undang-undang serta menjaga ketenteraman awam selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Kawalan keselamatan juga akan dipertingkatkan di beberapa lokasi strategik, termasuk bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri Negeri Sembilan dan istana, bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam.

PRN Negeri Sembilan kali ini melibatkan 859,760 pengundi berdaftar, termasuk 7,391 pengundi pos, yang akan memilih wakil rakyat bagi 36 kerusi DUN.

Sebelum ini, pengundian awal yang berlangsung pada 28 Julai merekodkan kadar keluar mengundi sebanyak 91.06 peratus, melibatkan 14,995 pengundi awal. - Getaran, 1 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved