PRN Negeri Sembilan: Polis terima satu laporan pertelingkahan mulut antara penyokong parti

LocalPolitics
19 Jul 2026 • 9:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: Polis terima satu laporan pertelingkahan mulut antara penyokong parti
Alzafny (tengah) ketika bercakap kepada pemberita di Seremban pada Ahad.

SEREMBAN - Polis menerima satu laporan membabitkan penyokong parti yang berlaku pada hari pertama proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, bagaimanapun tiada kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya telah dibuka.

"Dari aspek penguatkuasaan pada semalam, satu laporan polis telah diterima berkenaan pertelingkahan mulut antara penyokong parti.

PRN Negeri Sembilan: Anthony berdepan calon BN di DUN Chennah

"Tapi tiada kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Menurutnya, sebanyak 19 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik pada Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan telah diluluskan bagi tempoh terbabit.

Tambahnya, permohonan tersebut diluluskan setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Kesemua program dan aktiviti politik yang telah diadakan akan dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Polis akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsigaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang PRN ini," katanya.

Ujarnya, sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.

Justeru katanya, orang ramai diminta untuk terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis di lapangan bagi memastikan PRN ke-16 berlangsung dalam suasana yang akan, harmoni, selamat dan teratur.

"Namun setakat ini situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang PRN ini adalah pada tahap yang baik dan terkawal," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved